PERCATURAN POLITIK MATANG?

Pilihanraya semakin hampir dan beberapa parti politik, sama ada yang bergerak secara berkumpulan mahupun bersendirian sibuk mengatur siasah dan pencaturan masing-masing. Sebagai warga Malaysia, kita melihat keadaan ini memberangsangkan dan memperlihatkan  bahawa demokrasi diamalkan secara berleluasa dan sihat.

Walau bagaimanapun, umum mengambarkan scenario politik di Malaysia sebagai penuh dengan persaingan dan berbeza dengan keputusan pilihanraya yang sudah-sudah. Rata-rata berpendapat bahawa rakyat belum menunjukkan isyarat jelas pembayang peneraju kerajaan bagi penggal seterusnya.
Kita mendengar nada berbeza di mana, kita belum tercium nama yang diramal juara sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri. Kebiasaannya penyokong setiap parti membuat dakwaan bahawa calon mereka bakal menang dan parti sekian bakal berkuasa. Namun persoalannya adakah dakwaan mereka selari dengan suara majoriti rakyat?
Telah dipersetujui ramai bahawa peletakan calon dan parti yang bertanding dalam pilihanraya memainkan peranan peraih undi. Apa yang nyata, umum berpendapat bahawa kesilapan meletakkan calon atau parti yang bertanding, tidak kira parti kerajaan mahupun pembangkang akan menyebabkan kesan tidak diingini.
Justeru itu, tidak hairan kita mendapati bahawa wujud desakan untuk parti mengenalpasti dan meletakkan ‘calon mampu menang’ atau ‘winable candidate’. Namun persoalannya bagaimanakah dan apakah mekanisma untuk memilih calon berkenaan?
Menurut Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak, individu berkenaan hendaklah seorang yang berintegriti, berwibawa, berkarisma, diterima dan disokong ramai dan calon mestilah penyokong tegar yang memperjuangkan BN. Menurutnya, calon itu tidak semestinya popular pada pemimpin atasan sebaliknya diperlukan oleh rakyat.
Justeru itu, ukuran berkenaan sering diidamkan oleh para calon. Malangnya, wujud kesangsian bagaimana ukuran berkenaan dibuat dan benarkah agen yang terlibat benar-benar telus dan diperakui kewibawaannya.
Di pihak pembangkang turut berlaku kesulitan untuk memilih calon. Banyak kali kita mendengar pemimpin atau individu yang menonjol di peringkat cabang atau bahagian parti, rupanya tidak diminati atau tidak layak. Kadangkala individu berkenaan popular di kawasan tertentu
namun tidak dikenali bahkan ditolak di kawasan lain.
Mungkin bagi parti yang bersendirian tanpa membentuk perikatan/pakatan dengan parti lain dengan mudah menentukan calon. Ini banyak dipengaruhi oleh ketidak-wujudan keperluan untuk berkompromi dengan parti sahabat. Namun kadangkala bagi parti peringkat Bahagian yang baru diaktifkan, pemimpin yang ada di sana tidak dikenali dan bersifat ‘bidan terjun’. Maksudnya pertandingan adalah bersifat ‘asal ada dan
cuba nasib’.
Bagi parti yangmempunyai perikatan, keperluan untuk berkompromi sangat perlu ditekankan dan diberi tumpuan lebih. Alasan bahawa Bahagian berkenaan adalah kuota parti sekian mungkin tidak sesuai lagi. Ini kerana selain keahlian parti, kita perlu melihat adakah calonnya
diterima rakyat dan bolehkah calon berkenaan kelak mewakili rakyat. Dewasa ini, rata-rata rakyat mahukan calon yang berjiwa rakyat dan berkemampuan menjadi agen pembangunan dan dapat pula menjadi medium keperluan rakyat.
Trend siapa berkewangan dan berkuasa bukan lagi jawapan kepada syarat jadi calon. Kita pernah melihat individu menggunakan semua pengaruh, kekuasaan dan kewangannya untuk mempengaruhi bahkan memaksa pihak tertentu untuk memastikan dia boleh bertanding. Kita melihat trend ini dalam BN bahkan dalam pembangkang juga. Trend ini, jika dihayati bukan lagi dianggap sebagai amalan yang sihat dan bijak. Sebagai ahli parti politik, kita takut amalan ini akhirnya menyebabkan calon dan parti kalah. Kita tidak kisah calon kalah, tetapi paling takut jika parti kalah.
Apabila kita melihat dari segi perikatan, Barisan Nasional, Pakatan Rakyat mahupun United Borneo Alliance kelihatan saling melobi bahkan saling bertelagah dalam mengetengahkan calon bagi sesuatu kerusi. Krisis ini kadangkala menghasilkan kelompok yang kecewa berkemungkinan lebih cenderung ‘menebang’ dari menyokong. Perbuatan sabotaj ini biasanya dilihat sebagai punca banyak keputusan pilihanraya sebelum ini lari  dari sasaran.
Meskipun di Sabah, Pakatan Rakyat dan United Borneo Alliance (UBA) masih baru, akan wujud kecenderungan untuk menggunakan formula perkongsian kuasa dan agihan kerusi. Baru-baru ini, UBA yang dianggotai oleh STAR, SAPP dan USNO kononnya sebagai tolak-ansur untuk
kemenangan pembangkang, mencadangkan UBA bertanding bagi kerusi DUN manakala Parlimen sebahagian besarnya untuk Pakatan Rakyat.
Dengar khabar Pakatan pula yang belum pasti membentuk perikatan dengan UBA berkemungkinan mengagihkan kerusi mengikut taburan kaum atau agama sebagai contohnya, kawasan majoriti beragama Islam untuk PAS khususnya di pantai timur, kawasan majoriti Cina untuk DAP dan selebihnya untuk Keadilan. Diramalkan BN tidak membuat rombakan banyak meskipun kedengaran beberapa parti komponen seperti UMNO, PBS, UPKO dan LDP menyuarakan minat bertanding di kerusi baru. Percaturan ini meskipun bukan asing namun kesannya jika tidak dipertimbangkan dengan bijaksana berkeupayaan membawa keretakan dalam perikatan berkenaan.
Jika kita melihat dari agihan kerusi, penguasaan kerusi terbanyak oleh mana-mana ahli perikatan akan menunjukkan sejauh mana penonjolnya kepimpinan sesuatu parti. Parti yang dapat meletakkan calon lebih ramai berbanding ahli perikatan dilabel sebagai dominan dan berkemungkinan menerajui kepimpinan di peringkat negeri. Persoalannya adakah semua calon berkenaan mampu menang? Sejarah telah menunjukkan bahawa dominasi calon tidak menjamin kemenangan parti. Di mana parti yang bukan dominasi pula yang menang banyak. Ini telah kita lihat di Perak bila DAP menang lebih banyak kerusi berbanding ahli pakatan yang lain.
Natijahnya, rakyat nampaknya memilih calon yang mereka suka, bukan calon yang disukai pemimpin atasan. Jika tidak salah, kecenderungan mengatakan bahawa, ‘Jangan peduli siapa calon, undi parti yang bertanding’ bukan lagi seruan dan motto yang sempurna. Penganalisis politik berpendapat, tidak mustahil anjakan minda yang sedang berlaku di kalangan pengundi khususnya ‘silent voter’ dan golongan muda, kurang pedulikan apa parti yang bertanding sebaliknya apa isu dan siapa calon.
Adakah ini bermakna calon bebas boleh menang? Kita perlu terima kenyataan bahawa calon bebas, meskipun sebaik mana dia akan tetap gagal dalam memikul tanggung-jawab dan membawa agenda rakyat ke arah kepuasan rakyat.
Kita mesti tahu, rakyat mahukan pembelaan dan hasil dari undi mereka. Pembelaan dan hasil undi tidak akan ke mana jika wakil rakyat yang dipilih tidak dapat membawa visi dan misinya dihayati bersama oleh wakil rakyat lain. Perlu diakui bahawa sistem pemerintahan di Malaysia berpaksikan suara majoriti. Sebaik mana pun wakil rakyat itu, jika dia tidak mempunyai pasukan, jika dia tidak mampu berkerja secara berpasukan, dia tidak lebih daripada ‘kera sumbang’.
Lantaran itu, pemilihan calon dan parti apa yang bertanding dilihat sebagai percaturan. Tidak ada siapa pun yang mahu calon parti yang mewakili mereka kalah. Maka dengan itu, kita mahu parti-parti yang bertanding bercatur dengan berhati-hati dan bermaklumat. Memang sebagai pemimpin kita tidak sempurna namun kita mampu meminimumkan kesilapan dengan memilih mekanisma terbaik.
Pada pilihanraya umum dan negeri ini, kita mesti menganggap setiap kerusi sebagai berharga, wajar ditawan, hati rakyat mesti diyakinkan dan undi mesti berpihak pada kita. Ini bukan masa untuk ‘berjudi untung nasib’ sebaliknya melabur setiap sen, masa dan tenaga untuk mensejahterakan rakyat. Jika kita berpolitik secara tidak matang, jika kita ‘buat asal ada’ maka ketahuilah, rakyat semakin bijak ddan mereka tidak teragak-agak menyisihkan kita.
Kepada bakal calon dan pemimpin parti tidak kira kerajaan mahupun pembangkang, demokrasi yang tumbuh segar di negara ini hendaklah dipelihara dan dimantapkan. Keserakahan dan keangkuhan boleh menghancurkan Malaysia. Tidak guna kita ‘menang sorak, kampung tergadai’,
maknanya menang pilihanraya kelak negara kucar-kacir.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: