Ledakan Penduduk Mengancam Sabah?

Temu-ramah ini juga disertai koresponden Sabahkini dan disiarkan dalam Sabahkini.


Bila berlaku ledakan penduduk di Eropah berlaku sekitar tahun 50-an hingga 60-an, ramai ilmuan menjustifikasikannya dengan impak Perang Dunia Ke-2. Walau bagaimana pun apabila berlaku ledakan penduduk di Sabah sekitar tahun 80-an hingga 90-an, wujud percanggahan pendapat di kalangan ilmuan. Pelbagai teori dikemukakan dan isu ini dieksploitasi semaksima mungkin oleh pihak tertentu.

Ikuti pandangan Puan Sabini Binti Ansumor, Ketua Bahagian PBS N.36 Kemabong, merangkap Exco Wanita PBS Sabah dan Ahli Majlis Daerah Tenom berkaitan isu berkenaan semasa ditemu ramah oleh Editor Utusan Kemabong.

Editor UK: Isu ledakan penduduk menjadi isu hangat baru-baru, apa pandangan Puan?

Sabini: Sebenar isu ledakan penduduk ini telah lama disedari dari diperkatakan namun menjelang pilihanraya, isu ini kembali hangat. Memang tidak ada mana-mana negeri di Malaysia yang mengalami pertumbuhan luar biasa dalam tempoh yang sama. Ini sememangnya mengundang pelbagai andaian dan dieksploitasi sepenuhnya oleh pihak tertentu. Pengeksploitasian ini mempunyai kesan baik dan buruk.

Sebagai warganegara dan penduduk asal Malaysia dari Sabah, saya merasa bimbang. Ini kerana pertambahan penduduk sebegini bukan hanya memberikan saingan kepada penduduk asal malah mampu memudaratkan keselamatan dan keutuhan perlembagaan negara. Sudah tentulah saya mahu pertambahan penduduk Sabah berlaku secara semula jadi dan bebas dari anasir-anasir subversif.
Editor UK: Bagaimana respon Parti Bersatu Sabah berkaitan isu ini? 

Sabini: PBS memang komited menolak pertambahan penduduk luar biasa sperti ini.PBS mahu satu kajian dan tindakan yang sesuai dengan perlembagaan negara dibuat. Kami dalam PBS bertindak demikian bukan kerana sikap kedaerahan atau perkauman yang sempit. Kami berpendirian, sebagai warganegara Malaysia, wujud keperluan untuk mempertahankan kepentingan warganegara tulin dan menegakkan keutuhan perlembagaan negara.

Editor UK: Adakah Puan syak wujudnya anasir subversif seperti yang digembar-gemburkan selama ini?

Sabini: Saya tidak berani terus menuduh atau mengakui kewujudan senario seumpama itu. Justeru itu, kita mahu satu Suruhanjaya Inkuiri Di Raja (RCI) dilaksanakan segera. Saya berharap menerusi mekanisma ini, persoalan akan terbongkar dan kebenaran akan ditegakkan.

Editor UK: Ada spekulasi mengatakan bahawa pertambahan penduduk ini hasil daripada kemasukan warga asing menerusi pintu belakang. Apa pandangan Puan?

Sabini: Ya. Penduduk negara jiran seperti Filipina dan Indonesia masuk ke Malaysia khususnya Sabah dengan mudah. Ini berpunca akibat panjangnya sempadan dan luasnya perairan negara. Negara kita kekurangan tenaga dan sumber penguatkuasa untuk mengawal perairan negara. Ini ditambah dengan tarikan ekonomi dan kestabilan politik di Malaysia yang lebih baik dari negara asal mereka. 
Sebahagian pendatang asing ini pula hadir dengan status pelarian. Mereka datang ke Sabah dan memohon suaka politik. Kerajaan kita prihatin dan berperikemanusiaan. Mereka dilayan dengan baik dan diberikan Borang IMM13 Ini melayakkan mereka mendapat status pemastautin.

Editor UK: Apa kaitan Borang IMM13 ini dengan kewarganegaraan?

Sabini: Kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) sememangnya mencabuli kedaulatan Malaysia. Mereka yang datang tanpa dokumen yang sahih seperti pasport atau visa boleh ditahan dan dihantar semula ke negara asal. Malangnya bagi mereka yang memegang IMM13, mereka dianggap mempunyai dokumen yang sahih dan senang bergerak, hidup seperti warganegara.

Menurut perlembagaan Malaysia, seseorang yang bermastautin dalam tempoh 7 hingga 10 tahun di Malaysia, boleh berbahasa Melayu dan Inggeris dan berkelakuan baik layak memohon Kewarganegaraan. Maknanya pendatang yang tiba ke Malaysia selepas Hari Merdeka berpeluang menjadi warganegara menerusi ‘Kewarganegaraan Secara pendaftaran’ atau 10 hingga 12 tahun bagi ‘Kewarganegaraan Secara Masukan (Naturalisasi)’.

Editor UK: Dari penerangan Puan, kelihatan seolah-olah proses permohonan kewarganegaraan itu mempunyai kelemahan. Apakah kita perlu mengkaji perlembagaan negara?

Sabini: Ya. Kita nampak ketirisan ini menguntungkan pihak pendatang asing. Asal sahaja mereka memperolehi dokumen yang merekodkan tempoh permastautin mereka, asal sahaja mereka mengaku akan taat-setia kepada Seri Paduka Baginda, boleh berkomunikasi dalam Bahasa Melayu serta tiada rekod jenayah, mereka sudah berada diambang pintu menjadi warganegara.

Editor UK: Apakah langkah yang mungkin Puan ingin syorkan dalam membendung ketirisan ini?

Sabini: Kita letakkan syarat tambahan. Kita masukkan klausa yang memberikan lebih tapisan kepada para pemohon. Tidak ada peraturan mengatakan bahawa perlembagaan tidak boleh dipinda. Ini tentunya terletak di bahu pengubal dasar yakni para YB. 

Kita lihat kita mesti mengkaji semula dasar negara berkaitan pelarian politik dari negara jiran. Bukan semua kita boleh beri IMM13. Kalau pelarian dari Vietnam kita boleh hantar ke negara ke tiga, kenapa pelarian dari Filipina atau Indonesia kita berlembut. Adakah kerana pelarian ini serumpun atau seagama maka layanan jadi istimewa? Sepatutnya kita tidak boleh berkompromi dengan isu kebajikan, keselamatan dan hak warganegara Malaysia.

Editor UK: Difahamkan terdapat kesangsian akan status pendaftaran lewat secara bergerak di pedalaman khususnya kawasan sempadan. Bagaimana pandangan Puan?

Sabini: Banyak keluhan penduduk mengatakan pendaftaran lewat secara bergerak meragukan. Menurut mereka wujud warganegara jiran dari kawasan sempadan turut serta mendaftar. Mereka mengatakan faktor pengangkutan dan perhubungan menyebabkan mereka mendaftar lewat. Mereka menggunakan penduduk tempatan berstatus warganegara menyokong permohonan mereka. Saya berpendapat keluhan ini sebagai wajar diselidik. 

Kita tidak mahu ada individu mengambil kesempatan atas faktor ketidak-sampaian untuk memohon kewarganegaraan. Masa ini tidak masuk akal lagi pendaftaran bergerak dibuat. Contohnya, wajarkah lagi pendaftaran bergerak dibuat di Kemabong sedangkan jaraknya dengan JPN Tenom hanya 32 km, apatah lagi jalannya berturap? Lagi pula logikkah wujud penduduk berumur dua puluhan belum ber’IC’ atau bersurat beranak dalam lingkungan jarak sedemikian? Yang hairannya, kononnya wujud individu mengaku dari kampung sekian tetapi orang kampung berkenaan sendiri tidak mengenalinya.

Editor UK: Kononnya wujud sindikit mengambil surat beranak orang yang sudah meninggal dan diberi kepada orang asing untuk tujuan mendapatkan kewarganegaraan. Bolehkah senario ini berlaku?

Sabini: Tidak mustahil. Baru-baru ini kononnya seorang pemohon guru didapati menggunakan surat beranak orang yang telah meninggal untuk memohon kad pengenalan sedangkan dia berasal dari negara jiran. Nasib baik kedapatan lebih awal. Persoalannya, bukankah setiap kematian wajib dilaporkan kepada JPN. Di sini kita dapati wujud sikap jahil atau tamak individu tertentu sehingga kepentingan warganegara asal diabaikan.

Editor UK: Kononnya ada Projek IC yang didalangi pemimpin tinggi tertentu. Apa pandangan Puan?

Sabini: Jika benar, pemimpin itu perlu dihukum seberat-beratnya. Begitu juga jika ada penjawat awam dalam JPN atau mana-mana badan kerajaan yang bersubahat memberikan kewarganegaraan kepada pendatang asing tanpa melalui saluran dan proses yang sah dan boleh dipercayai, mereka tidak boleh diberi pengecualian. Keadilan mesti ditegakkan supaya rakyat mendapat pengajaran dan sikap ini ditolak dari menjadi amalan.

Walau bagaimanapun kita tidak boleh menuduh, bertindak apatah lagi melatah jika tanpa bukti yang kukuh. Jika benar ada pemimpin berhirarki tinggi terlibat, individu ini tentu boleh menyembunyikan kebenaran,. Walau bagaimanapun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh juga. Justeru itu, kita tidak boleh menghalang proses siasatan dari agensi berkaitan. Saya masih yakin dengan perundangan Malaysia dan saya masih yakin dengan integreti dan kemahiran pihak berkuasa. Tidak semua penjawat awam buta mata atau buta hati. Pasti ada yang baik dan cintakan tanah air.

Editor UK: Apakah sebab agensi kerajaan masih gagal membendung kedatangan PATI?

Sabini: Seperti yang saya katakan, sempadan Malaysia contohnya di Sabah bukan pendek. Perlu banyak sumber didedikasikan untuk mengawal sempadan. Di bandar maupun pelusuk kampung, rantaian order pembasmian PATI mesti dihayati, diamalkan dan dirasai oleh semua pihak termasuk oleh PATI sendiri. Kewujudan individu yang melindungi atau menjadi broker PATI mesti dikenalpasti dan diawasi serta dicerkup bilasampai masanya. Ini akan mewujudkan faktor tolakan kepada PATI untuk datang ke Malaysia.

Editor UK: Bagaimana dengan individu atau syarikat yang menyimpan atau menyembunyikan PATI?

Sabini: Kuatkuasakan akta sedia ada. Mereka yang menyimpan atau melindungi atau menyewakan premis untuk didiami PATI perlu dikenalpasti dan dibawa kemuka pengadilan. Jangan beri muka walaupun saudara sendiri. 
Memang ada kecenderungan penduduk memberikan peluang kepada pendatang asing membuat kontrak membina rumah atau bekerja secara haram. Kita tahu kenapa ini berlaku. Puncanya kerana ingin meminimumkan kos. Tapi rekod menunjukkan bahawa banyak kontrak terbengkalai atau tuan rumah lebih rugi akibat sikap pendatang yang lari. Tidak ada peraturan atau perjanjian yang boleh mengikat pendatang asing dan ini perlu diketahui oleh penduduk. Sesungguhnya mereka sedang bermain dengan risiko.

Editor UK: Kenapa warganegara Malaysia khususnya dari Sabah perlu menolak PATI?

Sabini: Jika kita membenarkan PATI datang ke Sabah, bekerja di Sabah, hidup sebebas dan selancar orang Sabah, kita sudah membuka kebajikan,keselamatan dan hak kita untuk dinikmati dan dipegang oleh PATI. Jika mereka diberi kebebasan, kita akan terpaksa bersaing pekerjaan dengan mereka. Mereka kurang mempunyai tanggungan, mereka datang ke sini salah satu sebab adalah untuk ekonomi dan asal hidup. Ini menyebabkan mereka hidup asal ada, maka mereka tidak menuntut upah yang tinggi. 
Yang menjadi masalah ialah kita. Kita tidak boleh hidup sembrono seperti mereka, kita perlu membayar itu dan ini demi untuk mendapatkan keselesaan sama seperti warga yang lain. Ini menyebabkan kita tidak mampu menerima upah kecil. Percaya atau tidak, ramai penduduk kita memilih kerja, ini kerana kita menjaga taraf atau nama baik di kalangan kita, tapi bagi pendatang, status ini tidak penting. Apa yang penting, kerja jadi duit. Jadi siapa yang akan menerima penduduk tempatan sebagai pekerja. Jika anda tauke, anda mahu yang bergaji mahal atau murah?

Selain itu, pendatang tidak rasa terikat dengan peraturan atau perjanjian. Mereka seumpama manusia yang ‘ada tetapi tidak ada’. Jika mereka tidak tahan atau buat salah, mereka akan lari. Jadi siapa yang susah? Di mana kita mahu mengadu? Kerana kelonggaran ini juga mereka lebih cenderung membuat kesalahan seperti mencuri harta jiran atau tauke. 

Mereka juga sesungguhnya tidak mempunyai rasa sayang dan setia akan persekitaran. Mereka mungkin sayang dan setia kepada negara mereka atau tanah nenek moyang mereka tetapi bukannya Malaysia yang tidak lebih daripada tempat mencari makan.


PATI yang baru datang tidak mudah untuk menjiwai kehidupan, budaya dan adat resam masyarakat tempatan kita. Mereka memerlukan masa. Keselekehan mereka menyebabkan mereka melakukan apa yang mereka fikir betul dan paling mudah pada masa itu. Contohnya jika mereka selesa berkahwin tanpa nikah, mereka akan buat demikian. Jika mereka tinggal di tepi pantai atau sungai dan hendak buang sampah, mereka buang sampah. Adakah mereka akan fikirkan tentang keindahan alam sekitar? 

Jadi kalau mereka jadi warganegera, adakah mereka akan berubah? Tidak mudah. Lainlah jika mereka menetap di sesuatu tempat, bercampur-baur dengan penduduk atau berkahwin dengan penduduk tempatan. Malangnya perkahwinan biasanya didominasi oleh keegoan lelaki biarpun dia PATI. Jadi bukan suami yang mengikut aturan isteri sebaliknya isteri yang mengikuti aturan suami. Maka berlakulah penerapan budaya ‘simple’ pendatang dalam budaya kita.

Sering kita mendengar juga berkaitan pendatang yang sudah mendapat keistimewaan seperti warganegera asal. Mereka kononnya dapat SPBT di sekolah, dapat BR1M dan sebagainya. Benar atau tidak, Tuhan sahaja yang tahu. Namun kemungkinan tetap ada seumpama peribahasa, ‘masakan daun bergoyang kalau tidak ditiup angin’.
Editor UK: Apakah pesanan akhir Puan berkaitan isu ini?
Sabini: Segerakan RCI dan pastikan pelaksanaannya telus dan mengutamakan rakyat. Saya mahu kerajaan BN cuba sebaik mungkin untuk bersifat transperan dan menyangkal dakwaan pihak tertentu. Sebagai warga Malaysia, saya mahukan kepentingan warganegara Malaysia terpelihara dan keadilan ditegakkan dengan mencantas apa jua salah laku dan anasir yang boleh memudaratkan Malaysia. Saya yakin, hasrat murni ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ bukan hanya menjadi slogan malah perlu dijiwai dan dijadikan amalan para penjawat awam dan pemimpin.

Editor UK: Terima kasih.

Sabini: Sama-sama.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: