UCAPAN USUL KETUA BAHAGIAN SEMPENA KONGRESS KE-26

UCAPAN USUL BAHAGIAN, PBS BAHAGIAN N.36 KEMABONG
KONGRESS KALI KE 26, TAHUN 2011.

PENGENALAN:

1.    Terima kasih, Tuan Pengerusi Tetap.

2.    Selamat sejahtera, Salam 1Malaysia dan Salam Bersatu. Bersatu kita teguh, Bercerai kita roboh.

3.    Saya, Sabini Ansumor, Ketua Bahagian PBS, N.36 Kemabong merangkap Exco Pergerakan Wanita PBS, amat terharu bahkan sangat bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Esa, kerana dengan limpah kasih dan karunia-Nya, kita dapat bertemu dan membahaskan ucapan dasar YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Presiden yang kita kasihi, pejuang rakyat, pemimpin ulung berjiwa rakyat.

4.    Sebagai pemimpin yang bermula dari akar-umbi, saya telah melihat dan diyakinkan bahawa PBS sebagai sebuah parti, lahir dari linangan air-mata dan keringat rakyat, masih kukuh dan bertahan, cekal dengan pendirian, ‘Memperjuangkan rakyat menerusi parti dan bukannya memperjuangkan parti menerusi rakyat.’

5.    Hal ini dengan jelasnya, meletakkan PBS sebagai benteng kesejahteraan rakyat. Sebuah parti yang ‘Tak rapuh dek hujan, tak lekang dek panas.’ Inilah parti kita, Parti Bersatu Sabah, parti berbilang kaum, pembela kemakmuran dan pengawal hak rakyat Sabah.

6.    Terima kasih kepada PBS. Terima kasih para pemimpin PBS yang didikasi.

Tuan Pengerusi Tetap,

PERJUANGAN MEMERLUKAN SOKONGAN:

7.    Kita telah bersuara, pemimpin kita telah berusaha. Namun kita dapati masih banyak perkara yang perlu dilakukan. Ini menunjukkan bahawa perjuangan kita belum selesai. Masih banyak usaha yang perlu dijalin bersama, barulah ianya akan membuahkan hasil. Hal ini seumpama menenun benang, ‘Sehari selembar kain, lama-lama menjadi sehelai baju’.

8.    Justeru itu, marilah kita terus berdiri teguh, mendukung dan memantapkan PBS. Marilah kita bersatu hati dan saling memberi. Marilah membentuk kumpulan kerja yang produktif dan efesyen, berkualiti dan beramanah.

9.    Maka dengan itu, barulah PBS kukuh dan kuat, barulah PBS mampu disegani dan dihormati, sehingga intipati perjuangan kita sebagai rakyat mampu diangkat dan direalisasikan.

Tuan Pengerusi Tetap,

PATI ‘DURI DALAM DAGING’:

10.    Pada tahun 1970, penduduk Sabah seramai kira-kira 636 ribu orang, Sarawak pula 976 ribu. Pada tahun 2000, penduduk Sabah seramai 2.6 juta tetapi Sarawak hanya mempunyai 2.1 juta orang. Ini menunjukkan penduduk Sabah mengalami pertumbuhan penduduk pada tahun 1991-2000 sebanyak 4% berbanding Sarawak, 2.1%. Kenapa yang sedikit  tiba-tiba jadi lebih banyak?

11.    Pertumbuhan ‘Hairan Binti Ajaib’ ini menyebabkan kuantiti rakyat Sabah semakin mengucup, bahkan terpaksa pula bersaing dengan pendatang. Jika ini dibiarkan, maka akhirnya rakyat Sabah seumpama, ‘Melukut di tepi gantang.’

12.    Justeru itu, kami menyokong sepenuhnya usul penubuhan Suruhanjaya Inkuiri Di Raja (RCI). Syor ini perlu dilaksanakan segera. Seminit leka, luka rakyat semakin parah. Saya takut, rakyat yang kesakitan akan merajuk, mereka akan menghukum BN dan menolak PBS.

Tuan Pengerusi tetap,

TANAH ADAT NADI KEHIDUPAN PENDUDUK PRIBUMI:

13.    Setahun yang lalu, lebih 2000 peserta telah mengemukakan Memorundum Tuntutan Tanah Adat di Kemabong menerusi PBS. Tuntutan ini melibatkan 24 kawasan yang didakwa mempunyai bukti hak asasi, seperti kubur, tanaman dan rumah.

14.    Sebahagian perkampungan ini wujud sebelum merdeka dan masih didiami sehingga kini. Malangnya sekitar tahun 70-an, diwartakan pula sebagai Hutan Simpan dan konsensi. Status ini menyebabkan perkampungan dilabel sebagai perkampungan haram. Siapakah yang haram?

15.    Justeru itu, kami mengesyorkan agar tuntutan ini disiasat. Jika benar kawasan berkenaan adalah tanah adat, kembalikannya kepada rakyat asal. Janganlah mereka ‘digantung tak bertali.’

16.    Begitu juga, dasar dan pelaksanaan ‘Geran Komunal’ perlu dijelaskan kepada rakyat agar rakyat mampu membuat keputusan yang munasabah.

Tuan Pengerusi Tetap,

KESEIMBANGAN GANDER, PENENTU KEMAJUAN NEGARA:

17.    Kami, khususnya Kaum Hawa perlu diberikan lebih banyak ruang dalam ‘Pembangunan dan Perkembangan Sumber Insan.’ Statistik menunjukkan semakin ramai wanita yang terpelajar, namun peratus penglibatan wanita di tahap pengurusan dan profesional adalah rendah.

18.    Kami dapati wanita merupakan aset negara dan keluarga yang berharga, namun wanita seumpama ‘Suci dalam Debu.’ Natijahnya, wanita masih mengalami diskriminasi gander dan sasaran 30% wanita dalam pengurusan dan pembuatan dasar masih ‘Jauh panggang dari api.’
19.    Oleh itu, kami merayu agar lebih banyak pekerjaan dikhususkan kepada wanita. Lebih banyak dana dan institusi diwujudkan untuk membantu wanita memajukan diri, bukan hanya sebagai pekerja malah bergiat dalam perniagaan dan perusahaan.

Tuan Pengerusi Tetap,

SEMANGAT BARISAN NASIONAL:

20.    Kekuatan BN banyak bertunjangkan kepada ‘Semangat Barisan Nasional.’ Kemenangan mana-mana calon adalah hasil kepercayaan dan undi yang diberi oleh ahli komponen, bukan hanya oleh ahli parti calon.

21.    Justeru itu, kami menyeru agar perkongsian kuasa dan peruntukkan, diagih secara adil di kalangan komponen.

22.    Marilah bekerja kuat dalam parti dan berkerjasama sesama komponen. Jangan berkira, ‘Siapa bapa, siapa anak?’ Dalam pilihan raya, 1 undi pun bernilai, apatah lagi satu parti komponen.

Tuan Pengerusi Tetap,

UTAMAKAN PERPADUAN:

23.    PBS sebuah parti berbilang kaum dan agama. Inilah parti tulin mewakili komposisi rakyat Sabah. Sebelum konsep 1Malaysia diperkenalkan, PBS telah mempraktikkan semangat perpaduan. Maka tidak hairan, PBS menjadi ‘Role-model’ kepada gagasan 1Malaysia.

24.    Jika kita tidak bersatu-padu. Jika kita saling menaruh syak. Jika kita saling bercakaran. Parti kita akan lemah. Bila parti lemah, parti gagal menjadi medium keperluan rakyat. Apabila parti gagal, parti menjadi tidak releven. Bila PBS tidak releven, PBS akan berkubur.

25.    Sesungguhnya, jika kita sudah tidak mampu berpegang kepada perpaduan. Kita sudah membenarkan diri kita terperangkap dalam ‘Pecah dan perintah.’

26.    Marilah saling berjabat tangan dan saling bermuafakat. Kembalilah kepada semangat tahun 80-an. Semoga PBS akan kembali kuat dan mampu memperjuangkan rakyat. Marilah kita, ‘Bersatu!’

Tuan Pengerusi Tetap,

27.    Sebelum saya beredar, izinkan saya menyampaikan dua rangkap pantun.

Lokan dicari di tepi pantai,
Di tepi kedai kita berjual beli.
Hati gembira bersua kembali,
Di lain hari kita berjumpa lagi.

Alang-alang menyeluk perkasam,
Biar sampai ke pangkal lengan.
Biar gelora dan badai menerkam,
Perjuangan PBS untuk rakyat tetap diteruskan.

28.    Maka dengan ini, kami menyokong penuh ucapan dasar Presiden PBS.

Sekian. Terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: