Ucapan Dasar Ketua Bahagian AGM Kali ke-26

UCAPAN DASAR KETUA BAHAGIAN

PENGENALAN:

1.     Shalom, Selamat sejahtera, Salam 1 Malaysia dan Salam Bersatu. Sebelum saya memanjangkan ucapan ini, terlebih dahulu saya mengucap syukur kepada Tuhan Yang Maha Esa kerana dengan kasih dan karunia-Nya, kita dapat bertemu dan melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada tahun 2011 ini.

2.    Tidak dinafikan sebagai sebuah parti yang telah berusia 26 tahun, PBS telah menghadapi pelbagai onak dan duri, ditindis dan ditampan bahkan diasak bertali arus. Namun PBS masih kukuh dan bertahan, cekal dengan pendiriannya, `Memperjuangkan rakyat menerusi parti dan bukannya memperjuangkan parti menerusi rakyat.‘

3.    Sebagai pemimpin yang bermula dari akar umbi, saya telah melihat dan diyakinkan bahawa PBS telah mengambil pelbagai langkah yang wajar dan proaktif dalam membela dan menjadi saluran keperluan dan perjuangan rakyat. Ini menunjukkan bahawa PBS masih releven dan tidak ditolak rakyat.

PERJUANGAN MEMERLUKAN SOKONGAN

4.     Meskipun begitu, saya sedar dan akur bahawa perjuangan PBS dalam mengemudi pembangunan dan kebajikan rakyat masih jauh dari tercapai sepenuhnya. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan, masih banyak usaha yang perlu dijalin bersama, barulah ianya akan membuahkan hasil. Hal ini seumpama menenun kain, sehari selembar kain, lama-lama menjadi sehelai baju.

5.    Memandangkan PBS sedar bahawa kewujudnya adalah hasil nurkilan rasa rakyat massa yang mendambakan pembelaan, maka PBS menyerahkan kepada rakyat untuk mengemudi hala tuju parti. Kita tahu dan faham, sesungguhnya PBS adalah parti yang mementingkan rakyat dan pemimpin-pemimpinnya berjiwa rakyat. Maka tidak hairanlah kenapa PBS lebih memahami dan sangat memperjuangkan sensitiviti rakyat.

6.    Kita dalam PBS sedar dan insaf bahawa hanya dengan perpaduan dan patriotisme, kita dapat menegakkan muka kita, mengangkat suara kita dan menyonsang arus. Pengajaran telah mengajar kita menerima hakikat bahawa tanpa persepakatan dan kasih, maka tiada kemajuan dan tiada pencapaian.

7.     Justeru itu marilah kita bersatu hati dan saling memberi agar parti kita ini menjadi satu kumpulan kerja yang produktif, efesyen dan berkesan serta berkualiti. Marilah kita mengongsikan kepakaran dan karunia masing-masing dalam satu tekad yang terkolaborasi dan terkoperatif.

8.    Sesungguhnya dengan sokongan dan sumbangan kita semua, barulah PBS kukuh dan kuat, barulah PBS mampu disegani dan dihormati. Sehingga intipati perjuangan kita sebagai rakyat mampu diangkat dan direalisasikan.

UTAMAKAN PERPADUAN

9.    PBS adalah sebuah parti berbilang kaum dan agama. Meskipun presiden kita dari suku kaum lain daripada kita, sejarah telah membuktikan bahawa dia terus memperjuangkan kita semua. Maka wajarlah kita mengikuti acuan beliau yang sederhana namun adil berkenaan.

10.    Jesteru itu, marilah hayati dan amalkan pendekatan parti yang `multi-racial‘ ini. PBS-lah parti yang menerima semua kaum dan agama duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Ini kerana Sabah adalah sebuah negeri berbilang kaum dan agama. Untuk menjadi sebuah parti yang kuat, PBS mesti menerima perpaduan kaum dan agama sebagai suatu keunikan yang wajar diamalkan.

11.    Selagi kita saling hormat-menghormati, bertolak-ansur dan bekerjasama, kita yakin kita mampu maju lebih lancar dan kukuh berbanding parti yang bersifat perkauman. Sesungguhnya jika kita hanyut dengan sentimen perkauman dan keagamaan, akhirnya kita terdedah pada dasar `Pecah dan perintah.‘ Jika ini berlaku, sampai bila-bila pun kita akan mengalami diskriminasi, ditindas dan lemah.

12.    Lantaran itu, semua ahli PBS hendaklah melihat kepelbagaian kaum dan agama dalam parti sebagai satu aset. Dengan mempunyai ahli yang berbilang kaum dan agama, kita mampu mendekati lebih ramai rakyat, dan apabila rakyat ramai bersama kita, parti kita akan menjadi kuat.

PERKONGSIAN SAMA RATA

13.    PBS sangat prihatin dengan tuntutan rakyat agar semua peruntukan dan bantuan diagih sama rata di kalangan rakyat yang layak. PBS beranggapan bahawa semua rakyat tanpa memandang kaum, agama, latar belakang pendidikan dan tempat layak memohon dan wajar diselidik kelayakannya.

14.    Perbuatan membelakangkan hak sesetengah rakyat atas dasar kroni atau perbezaan politik apatah lagi wujudnya gejala rasuah sangat bertentangan dengan prinsip PBS yang mahu bersikap adil dan saksama. Justeru itu, kita dalam PBS mestilah bersatu hati menyuarakan permasalahan ini ke peringkat atasan.

15.     Pengamatan saya mendapati kerajaan sangat mengambil berat akan kebajikan rakyat dan pembangunan negara. Malangnya kita mendapati ada segelintir pemimpin dan penjawat awam yang bernafsu serakah, menggunakan kebaikan kerajaan untuk kepentingan diri sendiri.

16.     Justeru itu, kita mahu agar fenomena ini mendapat perhatian khusus kerajaan. PBS tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak yang tidak kompiten dan berfikiran murni. Sikap `Beraja di mata, bersultan di hati‘ adalah sikap yang serakah dan wajar ditentang habis-habisan.

17.     Apa yang pasti, kita mesti menerima hakikat bahawa sudah sampailah masanya untuk kita memartabahkan prinsip, `Berubah untuk berbuah.‘ Seperti mana pohon yang tidak menghasilkan buah yang baik, eloklah pohon berkenaan ditebang dan dicampakkan ke ungun api. Maka kita berilah peluang pada bibit yang baru untuk tumbuh dan berbuah. Begitulah jika ada pihak yang korup dan tidak releven lagi, bahkan menjadi liabiliti kepada kerajaan, biarlah ianya disingkirkan. Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor.

PEMBANGUNAN SEIMBANG

18.    PBS beranggap bahawa tahap kemahiran dan  pengetahuan rakyat mestilah ditingkatkan demi untuk mengubah tahap kehidupan mereka. Sesungguhnya rakyat yang berilmu dan mahir merupakan aset kepada negara dan lesen untuk mereka memperbaiki status kehidupan mereka.

19.    Kita sedar bahawa dengan menjadikan rakyat menjadi penduduk yang berdaya saing, bijak mengambil peluang dan kreatif serta kritis dalam menjana peluang menjadi keuntungan, mampu meletakkan Malaysia menjadi negara permai dan maju.

20.    Selain itu, kemudahan sistem pengangkutan dan perhubungan hendaklah diberi perhatian khusus.Kita tahu Sabah sebuah negeri yang luas dan mempunyai bentuk muka bumi yang pelbagai. Kita tahu bahawa semua tempat memerlukan peningkatan taraf, namun kita dapati bahawa projek pembangunan infrastruktur dan prasarana seimbang.

21.     Jaringan pengangkutan kampung ke kampung banyak yang daif. Kita tidak mahu begitu banyak kampung tidak mendapat pembelaan sepatutnya tetapi beberapa projek ditumpukan ke sesetengah kawasan sehingga jalanraya berturap yang masih boleh digunakan 10 tahun diturap semula sedangkan kos yang sama boleh menurapi jalan beberapa kampung yang sangat mendesak dan daif. Terdapat  juga sesetengah jalan diturap hingga ke halaman rumah atau jalan kuburan sedangkan jarak yang sama tidak sampai ke kampung berpenduduk ramai.

22.    Adakah ini salah kerajaan atau salah pekerja kerajaan? Saya tegaskan di sini, kerajaan tidak berkompromi dengan hal sebegini. Kerajaan pada dasarnya peruntukkan diberi sama rata dan adil namun kita sedar dan kita mahu beritahu kerajaan bahawa nama baik kerajaan tercemar kerana dasar yang baik dilaksanakan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggung-jawab.

CHECK AND BALANCE

23.    Sebagai sebuah parti berkonsepkan, `Dari rakyat, untuk rakyat, kepada raykat,‘ PBS tidak boleh tidak mesti berani memantau dan menegur pihak tertentu. PBS harus malahan wajib memainkan fungsi sosialnya jika mahu terus dilihat dan dianggap oleh rakyat sebagai parti yang releven.

24.    Jesteru itu, PBS tidak segan silu bersuara mewakili rakyat. Kita tidak bersuara tanpa melihat dan mendengar rintihan rakyat. Kalau boleh, di mana rakyat membuat aduan, kita cuba telusuri permasalahan berkenaan secara empiti dan simpati.

25.    Adalah tidak benar, PBS bersikap seperti gunting dalam lipatan dan seumpama ada udang sebalik batu. PBS berniat ikhlas dan wajar, memandangkan sebagai komponen BN, dan BN adalah kerajaan, maka PBS menegur pihak tertentu supaya nama baik kerajaan BN tidak terus terguris.

26.    Pada masa yang sama kita mahu rakyat terbela dan menikmati hak mereka. Ingatlah sebagai parti, kita wujud untuk rakyat bukan untuk individu tertentu.

27.    Dalam kes yang tertentu, pemimpin kita menegur dalam bentuk `slow talk.‘ Namun kadangkala ada pihak tertentu bila kita `slow talked‘, dia pula `slow action.‘ Akhirnya rakyat marah dengan kita. Apatah lagi kita selalu bersama dengan rakyat, maka kita-lah yang menjadi tempat rakyat melepaskan perasaan. Mahu tak mahu akhirnya kadangkala kita kena pula kena `tune our voice.‘

DASAR UNTUK RAKYAT

28.    PBS beranggapan bahawa sesuatu dasar itu diperkenalkan oleh kerajaan adalah untuk rakyat. Dengan yang demikian, PBS berpendirian sesuatu dasar itu wajib ddengari, dihayati dan difahami oleh rakyat dari sebelum pelaksanaannya lagi.

29.    Kelemahan dalam aspek memperkenalkan sesuatu inovasi, walau sebaik mana sesuatu inovasi itu akan menimbulkan kekeliruan dan akhir sekali kekalutan. Hal ini mengundang lebih banyak keburukan dari kebaikan. Maka dengan yang demikian, pihak terntu khususnya agen kerajaan perlu bertindak sistematik dan rasional.Ini kerana konsep mencegah lebih baik daripada mengubati.

30.    Pelaksanaan `Pemberian geran komunal` misalnya mendapat reaksi pelbagai rakyat. Ini kerana sebahagian besar rakyat tidak faham akan geran komunal. Sebagai rakyat yang terlibat, mereka perlu didekati dan diberi penerangan khusus dan dalam suasana mesra. Jangankan rakyat, sebahagian pemimpin pun turut kabur akan geran ini.

31.    Dengan mendapat maklumat yang jelas dan tidak bertapis sahaja membolehkan rakyat membuat pertimbangan dan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak sesebuah dasar. Saya percaya bahawa kadangkala kuasa membuat keputusan adalah terpulang kepada rakyat.

32.    Dalam masa yang sama saya beranggap bahawa PBS boleh memainkan peranan sebagai pihak yang berada di tengah-tengah antara rakyat dengan kerajaan. Sebagai parti yang berasal dari rakyat yang menjadi ahli kerajaan, PBS ingin melihat yang terbaik secara seimbang kepada rakyat dan kerajaan. Maka PBS berpendirian untuk melobi dasar kerajaan yang baik dan menegur bagi tujuan penambah-baikan bagi dasar yang kurang sesuai.

31.    Begitu juga PBS perlu bertindak sebagai pemantau agar mana-mana dasar yang baik itu dapat dilaksanakan dengan betul mengikut yang sepatutnya. Kerana beberapa kes menunjukkan ada dasar dan projek yang baik apabila dilaksanakan, terpesong malah merugikan rakyat dan mencacatkan kerajaan.

MEMPERKASAKAN RAKYAT

32.    Rakyat adalah segala-galanya. Meskipun rakyat dilihat sebagai tidak berkuasa, namun rakyat boleh merubah sejarah. Justeru itu rakyat mesti diperkasakan.

33.    Antara perkara yang boleh diperkasakan:

(i) Peningkatan taraf ekonomi; 
(ii) Peningkatan Infrastruktur dan prasarana;
(iii) Peningkatan pendidikan; dan 
(iv) Pendaulatan hak asasi.

34.    Ekonomi rakyat hendaklah ditingkatkan agar mereka menjadi kurang depended (bergantung) kepada kerajaan. Rakyat yang berekonomi mantap kurang menimbulkan masalah sosial dan politik dan ini mewujudkan persekitaran negara yang aman dan makmur. Antara cara yang boleh dibuat ialah pemberiaan geran tanah menerusi pengeluaran tanah adat dari Hutan Simpan atau SFI.  Rakyat boleh mengusahakan tanah berkenaan untuk pertanian.

35.    Pendaulatan hak asasi perlu memandangkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dengan mudah mencabul atau memperlekehkan hak asasi khususnya golongan minoriti dan tak berkemampuan. Badan seperti Persatuan Pengguna (CASH) dan SUHAKAM sepatutnya dihormati.

36.     Jesteru itu, usaha kerajaan memperkukuhkan ke empat-empat perkara ini perlu disokong oleh semua rakyat. Saya berpendapat, PBS sebagai parti yang berjiwa rakyat akan terus memperjuangkan rakyat selagi diperlukan.

Sekian.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: