Wawancara: Wanita dalam kepimpinan, pembangunan sosio-ekonomi dan politik.

Menurut Sabah Women’s Action-Resource Group (SAWO), penyertaan dan penglibatan wanita dalam bidang profesionalisme semakin meningkat namun belum lagi mencapai sasaran 30 peratus dalam pengubalan dasar dan eksekutif. Ini secara langsung menunjukkan bahawa jurang gander di Sabah masih tinggi.

Usaha murni berterusan Jabatan Hal-Ehwal Wanita Sabah mengenalpasti individu kalangan hawa yang berkerjaya dan berwibawa akhirnya berjaya mencungkil beberapa calon sesuai mengisi lompang berkenaan. Salah seorang daripadanya ialah Yang Berbahagia Puan Sabini Binti Ansumor, Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) N.36 Kemabong; Exco Wanita Pusat PBS; Ahli Majlis Daerah Tenom.

Sehubungan dengan itu, satu wawancara telah dibuat bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan pengalaman beliau, sebagai satu perkongsian idea dan pengalaman meliputi aspek prinsip, strategi dan cabaran politik gander.

Ikutilah wawancara dengan beliau yang berlangsung semasa beberapa ahli jawatankuasa parti beliau sedang sibuk mengemaskini ‘Memorundum Tuntutan Tanah Adat (NCR)’ di rumah beliau.
Wartawan: Selamat sejahtera, Puan Sabini. Apa khabar?
Sabini: Selamat sejahtera. Baik.

Wartawan: Bolehkah puan terangkan serba sedikit tentang ‘memorundum’ ini?

Sabini: Memerundum NCR ini adalah himpunan sejumlah lebih 20 tuntutan tanah adat yang terletak dalam Hutan Simpan dan Sabah Forest Industri (SFI). Para penuntut mendakwa mereka mempunyai hak ke atas tanah di kawasan tertentu kerana faktor sejarah dan hak asasi.


Wartawan: Adakah penuntut ini masih tinggal di sana atau tidak?

Sabini: Sebahagian masih dan sebahagian telah meninggalkan kawasan berkenaan. Penduduk di kampung Kolorok, Ungga-Patian, Kangkawang, Ahuron, Katubu, Kapulu, Rundum, Sumambu, Tilis, Alutok, Kaang, Malutut, Ulu Tomani, Mahunsop dan Tinura masih tinggal di sana. Mereka mendakwa telah berada di sana sejak nenek-moyang dan tidak mempunyai tempat lain untuk dituju. Kawasan lain ditinggalkan oleh ibu-bapa akibat arahan pemimpin terdahulu untuk pindah ke kawasan dekat bandar atas faktor kesulitan hidup dan bukannya atas faktor suka rela.

Wartawan: Boleh terangkan serba sedikit berkaitan proses memorundum ini?

Sabini: Memorundum ini hendaklah mengandungi dokumentasi dan gambar serta peta yang lengkap. Jika tidak lengkap kita akan hantar juga dan terserah kepada pihak di atas memprosesnya. memorundum ini dihantar kepada pihak yang berkenaan untuk meneliti dan membuat keputusan melalui Setiausaha Agung dan Presiden PBS. Bila ada keputusan akan dibincangkan di peringkat Kabinet Sabah dan dibawa ke pengetahuan TYT jika perlu. Kami di sini bertanggung jawab membantu  penuntut membuat tuntutan, menghantar dan menyokong selain terus ‘menjolok’ bila perlu.

Wartawan: Apakah puan optimistik?

Sabini: Ya. Kita lihat di ‘Sook Plain Reserve’ dan ‘Mandalom Forest Reserve’ berjaya dikeluarkan oleh YB Tan Sri Joseph Kurup dan YB Datuk Ellron Angin (PBRS). Ini meliputi keluasan terkumpul seluas 31,680 ekar. Di Kota Marudu, YB Anita Baranting (PBS) turut berjaya membantu penduduk mengeluarkan tanah dari Hutan Simpan. Kenapa di Kemabong, tidak? Ini menunjukkan proses pengeluaran boleh dibuat asal sahaja caranya betul dan wujud rasa impati dan kerjasama pihak yang terbabit.
Wartawan: Berbalik kepada latar belakang puan. Boleh ceritakan serba sedikit latar belakang akedemik puan?

Sabini: Saya bersekolah di SM St Anthony, Tenom. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu. Selepas ‘posting’, saya menduduki peperiksaan STPM yang melayakkan saya masuk Univewrsiti Malaysia Sabah (UMS). Kini saya pemegang Sarjana Muda Kepujian TESL.

Wartawan: Saya difahamkan bahawa puan aktif dalam bidang kokurikulum semasa di Maktab.

Sabini: Benar. Saya terlibat dengan kelab Hoki dan pernah mewakili maktab dalam pertandingan peringkat institusi-institusi pengajian tinggi Sabah. Saya juga aktif dalam Persatuan Pandu Puteri sehingga menjadi Pesuruhjaya Pandu Puteri Daerah Tenom (1997-2005). Saya juga terlibat dalam Kelab Koir Maktab.

Wartawan: Adakah aktiviti seumpama ini banyak membantu dalam pentadbiran dan pemantapan personaliti?

Sabini: Ya. Pengalaman bergaul, memimpin dan dipimpin memudahkankan kerja saya ketika di tempat kerja, dalam  parti  dan masyarakat.

Wartawan: Bagaimana puan boleh terlibat dengan dunia politik? Mungkinkah kerana peluang atau dorongan keluarga?

Sabini: Pada mulanya saya kurang berminat tentang politik. Namun apabila sering bertukar fikiran dengan ahli keluarga dan masyarakat, saya merasa terpanggil terjun berpolitik bagi menyuarakan keresahan dan  keperluan rakyat. Saya tidak menyangka pergi sejauh ini. Nampaknya khidmat saya diperlukan dan saya berpendirian, kepercayaan yang diberi tidak elok dipersia-siakan. Apabila saya terlibat dengan parti, keluarga memberikan dorongan dan sokongan. Saya sangat bersyukur.

Wartawan: Bagaimana dengan isu gander, adakah puan menerima diskriminasi di tempat kerja?

Sabini: Tidak ada diskriminasi di tempat kerja (Kementerian Pelajaran) setakat ini. Namun jika dalam masyarakat umum atau politik, diskriminasi gander masih wujud.

Wartawan: Bagaimana pandangan masyarakat terhadap wanita sebagai pemimpin?

Sabini: Umumnya masih ada anggota masyarakat yang memandang rendah keupayaan wanita. Mereka menganggap wanita sebagai lemah dan hanya layak duduk di rumah. Mereka berpendapat setinggi-tinggi pelajaran seorang wanita, akhirnya tidak sampai kemana.

Wartawan: Sepanjang pengalaman puan, adakah keadaan ini ada berlaku dalam  karier politik puan?

Sabini:  Ya. Bukan mudah untuk saya diterima. Lawan politik berusaha mengotak-katikkan dengan mengaitkan jantina saya dengan keupayaan berpolitik. Syukurlah sehingga kini saya dapati tahap kerjasama, keboleh-percayaan dan keyakinan mereka semakin meningkat. Mungkin ini petanda saya memenuhi syarat sebagai ahli politik dan pemimpin.

Wartawan: Apakah petua yang puan amalkan atau terapkan dalam perkhidmatan puan selaku pemimpin?

Sabini: Saya melihat jawapan untuk soalan itu dari beberapa aspek. Pertama dari aspek kepimpinan pemimpin. Strategi ‘Pemimpin Melayani’ merupakan amalan yang saya guna-pakai. Sebagai pemimpin, pemimpin hendaklah berkhidmat kepada orang bawahan dengan adil, saksama dan amanah, tanpa mengorbankan  autoriti dan harga diri. Ini berbeza dengan segelintir pihak yang lebih suka menjadi bos atau pengarah. Strategi ini amat penting lebih-lebih lagi jika berhasrat menjadi pemimpin kepada rakyat sebab tanpa rakyat, tiadalah pemimpin.
Kedua, seseorang pemimpin hendaklah bervisi dan bermatlamat. Dalam sesebuah organisasi, pemimpin hendaklah dapat menyediakan sasaran yang mampu dicapai dan diterima pakai oleh ahli. Idea ini hendaklah berorentasikan perjuangan bersama yang akhirnya menguntungkan semua ahli.
Ketiga, seseorang pemimpin hendaklah dapat bekerjasama dengan ahli dan bekerja sebagai satu kumpulan. Kaedah koperatif dan kolaboratif boleh dipraktikkan di sini di mana setiap ahli boleh menyumbang idea, kemahiran, material dan tenaga untuk mencapai sesuatu matlamat.
Keempat dari segi aspek pergaulan, pemimpin hendaklah mudah bergaul, mesra dan sering turun padang. Pemimpin hendaklah berusaha memahami situasi dan permasalahan rakyat. Memanglah bukan semua situasi dan permasalahan itu dapat kita selesaikan namun dengan adanya kefahaman, membolehkan kita membuat keputusan atau perancangan yang baik.
Kelima, pemimpin yang baik ialah ‘role-model’yang baik. Ini bermakna pemimpin hendaklah menjaga amalan, penampilan, tutur kata dan harga diri. Maknanya, amalan ‘kepimpinan melalui tauladan’ itu hendaklah menjadi teras sesorang pemimpin.
Keenam, usahakan agar setiap tindakan, keputusan dan pencapaian yang diperolehi difahami oleh ahli atau rakyat. Ini bertujuan untuk mengelakkan salah faham atau pandangan serong pihak tertentu. Maklumlah  kadangkala banyak yang kita capai, sedikit yang orang tahu. Akhirnya usaha kita seperti sia-sia. Jika sesuatu pencapaian itu sesuai diketahui umum, sebarkan kepada umum. Lainlah kalau ‘sulit’, jangan pula disebarkan.

Wartawan: Saya difahamkan puan telah memperkenalkan konsep ‘KERANA SABAH’ dalam PBS. Apakah sebenarnya konsep ini?

Sabini: Konsep ini diperkenalkan untuk memantapkan PBS. Ianya juga sesuai digunapakai dalam organisasi lain.
KE- mewakili konsep ‘Ketrampilan Baru’, bermaksud pemimpin hendalah mempunyai penampilan yang baru. Penampilan ini hendaklah disesuaikan dengan citarasa umum, seperti penampilan yang sederhana dan lebih bersih serta jujur.
RA- mewakili konsep ‘Resepi Baru’, bermaksud pemimpin hendaklah mendekati rakyat mengikut kehendak rakyat. Resepi ini hendaklah memenuhi citarasa rakyat. Sesungguhnya rakyat mahukan pembelaan dan pembangunan sosio-ekonomi. Justeru itu, pemimpin hendaklah tampil dengan prinsip ‘memperjuangkan rakyat melalui parti dan bukannya memperjuangkan parti melalui rakyat’.
NA- mewakili konsep ‘Nafas Baru’, dimana melalui konsep ini rakyat menerusi gandingan pemimpin lama dan baru sering berpimpin tangan dan saling mendorong mara ke hadapan sebagai rakyat yang bersemangat dan berjati diri. Ianya seumpama sekawanan burung bangau yang sedang terbang dalam bentuk ‘V’. Kumpulan ini terbang satu matlamat, satu tujuan. Jika ada yang sudah letih, rakan di sisi mengambil alih sambil terus mendorong rakan yang keletihan.
SABAH- mewakili konsep ‘Suara Lantang’. Menerusi konsep ini para pemimpin dan parti menjadi medium suara kepada keperluan dan perjuangan rakyat. Menyuarakan keperluan rakyat adalah tanggung-jawab besar yang perlu dipikul oleh pemimpin dan parti. Kadang-kala ada pihak takut bersuara lantang, takut dilabel pembangkang. Anggapan ini salah. Pemimpin dipilih rakyat, tanpa rakyat tiada pemimpin. Rakyat memilih pemimpin untuk mewakili mereka bersuara dan membuat keputusan. Jadi pemimpin hendaklah bersuara berprinsipkan ‘berani kerana benar’. Janganlah pula bersuara sehingga tidak mengenal tempat, masa dan keadaan. Bersuaralah mengikut lunas dan etika yang betul dan pastikan suara itu disampaikan secara efektif.
Wartawan: Sejauh manakah puan bersetuju dengan dasar meningkatkan penglibatan wanita kepada 30% dalam pengubalan dasar dan pentadbiran?
Sabini: Saya bersetuju penglibatan wanita dalam bidang berkenaan ditingkatkan kepada 30 peratus, malah kalau boleh dianjakkan ke 35%. Ini kerana setakat tahun 2005 sahaja, ahli profesional berdaftar bagi Akauntan ialah 43 peratus, jurutera sarjana (12.8%), Doktor Gigi (56.2%), Doktor Veteriner (33.2%), Doktor Perubatan (37.2%) dan Peguam (44.9%).
Pada masa yang sama, pemegang kelulusan akedemik bagi wanita ialah 58 peratus diploma, 64.1% ijazah pertama, 53.7% sarjana dan Ph.D 38 peratus. Maknanya bilangan wanita berpendidikan tinggi lebih ramai dari lelaki. Manakala peratus wanita bekerja dibidang pengubalan undang-undang, pegawai kanan dan pengurusan hanya sekitar 6.1 peratus; bidang profesional 43.3% dan bidang juruteknik atau profesional bersekutu 38.6%.
Jadi di mana perginya wanita yang berpelajaran tinggi itu? Ringkasnya peratusan ini belum mengambarkan wanita diletakkan setaraf dengan lelaki. Namun sasaran 30% ini menunjukkan dasar kerajaan yang mulai terbuka kepada sumbangan positif wanita.

Wartawan: Perangkaan menunjukkan belum ramai wanita menjadi usahawan berjaya. Bagaimana pendapat puan?
Sabini: Penglibatan wanita dalam perniagaan dan perusahaan telah lama terutama secara kecil-kecilan. Namun pencapaian mereka terbantut atau dibayangi oleh lelaki. Antara sebab wujudnya masalah ini adalah kerana: Pertama, kengkangan adat dan masyarakat yang masih prajudis. Kedua, kekurangan kemudahan pinjaman modal. Ketiga, sikap ‘double standard’ rakan niaga atau usahawan. Keempat, kekurangan rakan kongsi sama gander. Kelima, kurangnya jenis perniagaan atau perusahaan yang biasa diterokai wanita.

Wartawan: Adakah puan optimistik perangkaan ini naik?
Sabini: Ya. Saya melihat dasar dan tindakan proaktif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dasar kerajaan umumnya dengan sokongan NGO, agensi kerajaan dan swasta serta wujudnya transformasi minda rakyat, perangkaan ini akan meningkat. Saya yakin ramai wanita yang menjadi usahawan berjaya.

Wartawan: Pada pandangan puan, bagaimana cara membangunkan sosio-ekonomi wanita luar bandar?

Sabini: Pembangunan spsio-ekonomi wanita hanya boleh dicapai dengan usaha bersepadu sektor kerajaan dan swasta, pemimpin setempat masyarakat dan wanita itu sendiri. ‘Revolusi minda’ dengan dorongan dan bimbingan ampuh semua pihak mampu membina asas kepada wanita membangunkan sosio-ekonomi mereka.

Wartawan: Bolehkan puan berikan contoh?

Sabini: Majoriti wanita luar bandar meluangkan masa yang banyak di rumah. Mereka dekat dengan tanah pesaka dan boleh mengusahakannya separuh masa atau sepenuh masa. Jika pihak Jabatan Haiwan mengajar cara berternak, berternak ayam pedaging misalnya, wanita boleh menjadi penternak. Mungkin persoalannya, bagaimana mendapatkan modal. Jawapannya melalui Skim Pinjaman Mikro oleh Bank Simpanan Nasional atau bank swasta yang lain. Tentulah mereka perlu menyediakan kertas kerja dan sebagainya yang perlu, namun kita mempunyai banyak agensi yang boleh bertindak sebagai ‘consultant’, tidak mustahil kelebihan ini boleh digembleng bagi tujuan memancu pembangunan sosio-ekonomi wanita.

Wartawan: Lazimnya sebahagian penduduk berharap kerajaan memberikan subsidi atau peruntukkan. Mereka menjauhkan diri dari skim pinjaman. Bagaimana pandangan puan?

Sabini: Bila penerangan dan keyakinan diri itu kurang, maka timbul sikap takut. Bila dapat subsidi dan peruntukkan, timbul pula sikap acuh tak acuh. Gejala ini bukan baru namun bukan halangan untuk merubah keadaan. Kita hendaklah mencari pendekatan yang licik dan berhemah. Tak bolehlah main paksa. Kempen kesedaran dan pemantapan jati diri perlu dibuat. Lagi pula, biasanya jika kita mendapat sesuatu itu dengan jerih-payah dan bersyarat, barulah kita menghargainya dan terikat sehingga kita ‘komited’.

Wartawan: Di kawasan Kemabong ini, apakah bidang yang boleh menjana pembangunan sosio-ekonomi wanita?

Sabini: Bidang pertanian seperti penanaman getah, kopi, limau bali, sayur-sayuran dan nenas; Bidang penternakan seperti penternakan ayam pedaging dan telur, lembu susu, babi cina dan penternakan ikan air tawar; Bidang kraftangan dan pelancongan berasaskan ‘Home stay’ berkonsepkan alam sekitar, budaya tradisi, kehidupan kampung dan keagamaan; Bidang pengilangan seperti berasaskan pertanian dan perikanan. Jika kena pada caranya, bidang-bidang ini boleh bertahan dan maju, asal sahaja agensi kerajaan dan swasta campur tangan.

Wartawan: Apakah pesanan yang puan dapat berikan kepada wanita?

Sabini: Wanita harus berani dan keluar dari kepompong malu dan rendah diri. Mereka harus ‘brutal’ dalam mencari pengetahuan dan kemahiran yang berguna untuk meningkatkan diri mereka. Saya berdoa agar wanita berjaya dalam mengemudi hiduip mereka selari malah jika boleh lebih baik daripada lelaki. Anggaplah lelaki sebagai rakan seperjuangan dan bukannya seteru atau tuan. Mungkin lelaki ketua dalam rumah tangga namun, keluarga yang berjaya dan bahagia ialah keluarga yang lahir dari sikap saling menghormati dan saling melengkapi.

Wartawan: Terima kasih. Semoga perjuangan dan usaha puan berjaya.

Sabini: Terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: