RENCANA: ISU TANAH MUKIM RUNDUM WAJAR DITANGANI DENGAN BIJAKSANA

Kemabong: Isu tanah di Mukim Rundum yang meliputi Kg. Rundum, Kg. Sumambu, Kg. Kapulu, Kg. Kolorok, Kg. Ungga Patian dan Kg. Katubu wajar diberikan perhatian dan ditangani dengan bijaksana. Demikianlah pandangan Pn. Sabini Ansumor ketika diminta mengulas kesulitan yang sedang dialami oleh penduduk di kawasan berkenaan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan sekumpulan kakitangan Jabatan Perhutanan yang merobohkan 4 buah rumah penduduk perkampungan tersebut pada 13 Januari 2011 sekitar jam 1 petang dengan alasan kononnya rumah-rumah tersebut terletak di kawasan Hutan Simpan Rundum. Difahamkan bahawa tindakan merobohkan rumah berkenaan dilakukan tanpa sebarang amaran awal atau  notis.  
Wakil penduduk, Encik Palipus Ampasu yang juga Timbalan Ketua Cawangan UMNO Kg Katubu kelihatan agak beremosi ketika itu seterusnya berkata, “Kami sudah tinggal di situ lebih 30 tahun lalu dan mempunyai tanaman getah yang sudah mengeluarkan hasil. Tetapi kenapa baru sekarang kami diusir dan rumah-rumah kami diroboh, nasib baik tidak dibakar,” tegasnya (Sabahkini: 27.01.2011, Jabatan Hutan Semakin Kejam?).
Ekoran insiden tersebut, satu laporan Polis telah dibuat beliau pada Isnin yang ditemani beberapa penduduk di situ, termasuk Haji Sabli Ambarok. Pihak Balai Polis di sini ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan tersebut. Encik Palipus turut memaklumkan masalah tersebut kepada Pegawai Daerah Tenom semua insiden dan perilaku kakitangan Jabatan Perhutanan yang didalangi kira-kira 20 kakitangan yang dipercayai daripada Sandakan.
Menurut seorang kakitangan Jabatan Hutan yang tidak mahu namanya disiarkan, kawasan berkenaan berada dalam kawasan Hutan Simpan dan penduduk tidak boleh membuka kawasan hutan bagi tujuan petempatan atau pertanian. Adalah menjadi satu kesalahan menceroboh kawasan hutan simpan.

Baru baru ini sekumpulan enam penduduk dari Kampung Emahit terdiri dari Andawan Ansapi, Barani Ambisi, Ansanam @ Azman bin Yapau, Johndy Kawar, Stanely Boyor dan Sarim Arus telah dijatuhkan hukuman denda RM1,000 setiap seorang atas kesalahan meceroboh kawasan Hutan Simpan Kuala Tomani, Tenom selaras dengan Seksyen 20(1) (C) (1), Enakmen Hutan 1968.

“Kami juga ada maruah dan ada hak untuk mempertahankan tanah adat kami daripada dicerobohi oleh sesiapa yang tidak berhak. Sebelum kerajaan menggazetkan tanah hutan simpan, kami sudah menduduki kawasan hutan sejak nenek moyang lagi untuk bertani, memburu dan mengumpul damar untuk dibuat minyak. Jadi, kenapa persoalan ini Jabatan Perhutanan tidak mengambil pertimbangan,” tegas Peter Lonok (Sabahkini: 12.11.2010, Penduduk Cabar Jabatan Hutan Berdebat).
Turut memberikan pandangan ialah Encik Saul Salleh yang juga bekas Pegawai Pembangunan masyarakat (CDO) ketika era kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan bahawa masih segar dalam ingatannya hasrat wakil rakyat pada ketika itu, pernah meminta kerajaan untuk mengeluarkan mana-mana kawasan yang dikategorikan sebagai tanah adat (NCR) supaya daripada kawasan hutan simpan tetapi sehingga kini tiada jawapan. 

Menurut Encik Saul lagi Wakil Rakyat Kemabong disaran agar mengambil ikhtibar dengan langkah-langkah yang telah diambil oleh Wakil Rakyat Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup dalam menangani isu pembubaran kawasan Hutan Simpan Sook seluas 6,111 hektar dan kini diwartakan sebagai tanah kerajaan kerana sebelum ini tanah tersebut berstatus Hutan Simpan Kelas IV (Sabahkini: 27.01.2011, Rubin Wajar Contohi Kurup!).

“Saya tidak berpuas hati dengan jawapan sambil lewa Pengarah Jabatan Hutan, Datuk Sam Mannan yang mengatakan rumah yang dirobohkan tersebut ialah rumah pembalak haram sedangkan kawasan tersebut ialah rumah yang didirikan penduduk kampung untuk menjaga tanaman dan ternakan mereka,” ujar Raimie yang agak kecewa dengan senario yang berlaku di kawasan yang diwakilinya.Demikianlah menurut Datuk Raimie Unggi (Sabahkini: 27.01.2011, Tanah Adat Vs Jabatan Hutan?).
Tegas Datuk Raimie, jika Jabatan Hutan telah menjalankan kajian lapangan, mereka pasti akan menemui berpuluh buah kampung yang telah wujud berpuluh tahun sebelum merdeka dan ada yang sudah menjangkau 200 tahun telah disalah wartakan sebagai Hutan Simpan sehingga penduduk kampung dilayan sebagai Pendatang Asing, di tanah adat yang mereka usahakan dengan tulang empat kerat dan diwariskan kepada generasi terkini.
Memandangkan isu ini semakin meruncing, Raimie akan menemui Ketua Menteri Sabah dan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah untuk memastikan isu ini menjadi salah satu usul penting dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah akan datang (dibawa oleh Adun BN) kerana TYT mempunyai kuasa untuk mengeksais keluar hutan simpan yang tidak produktif kepada Anak Negeri Sabah; terutama tanah adat yang terletak di bawah budi bicara PPHT. 
“Saya ada bukti kukuh untuk mendakwa tanah ini adalah tanah adat kerana nenek moyang dan bapa saya lahir di sini dan sudah bermastautin sejak beberapa generasi dengan mengusahakan tanah berkenaan. Karenah birokrasi menyekat nenek moyang kami mendapat hak asasi ke atas tanah tersebut kerana masalah perhubungan dan agitasi politik,” ujar Raimie yang kesal dengan sikap jabatan tertentu yang memilih untuk berlaku kejam kepada penduduk kampung, yang bukan sahaja sebagai pengundi tegar BN, malah pembayar cukai yang setia.  
“Kenapa terlalu keras bertindak mereka yang mewarisi tanah adat turun temurun dari nenek moyang mereka lagi. Mereka bukan penjenayah berat yang boleh dikaitkan sebagai mengancam keselamatan Negara, menyebabkan Jabatan Hutan bertindak sedemikian rupa,” kata Datuk Halik Zaman kepada media dalam satu kenyataan di Pejabat PKR Cabang Tenom.
 
Menurut Puan Sabini Ansumor, pada dasarnya isu tanah ini seharusnya diselesaikan dengan mengambil kira akan permasalahan rakyat yang menjadi penduduk di kampung berkenaan. “Mereka telah tinggal di sana semenjak sekian lama, bahkan berkesinambungan dari zaman sebelum Malaysia lagi. Mereka ini sewajarnya diberikan kelonggaran untuk mengerjakan tanah disekitar kampung dan diberikan hak memohon geran. Ini hanya dapat dibuat dengan mewartakan kawasan mereka ini sebagai tanah kerajaan yang boleh dipohon dan bukannya hutan simpan.

“Memang saya sedar dilema kerajaan berhubung tanah berkenaan. Walau bagaimanapun kita sedar bahawa konsep keadilan sejagat memihak kepada penduduk. Mereka telah wujud dan menetap di sana sejak sekian lama, lebih lama dari kewujudan Malaysia dan Jabatan Hutan. Maka wajar mereka tidak dinafikan hak ke atas tanah adat.”

Dimaklumkan dalam satu perkembangan lain, lebih 20 kumpulan penuntut tanah adat telah memfailkan tuntutan mereka menerusi memorundum yang diselenggarakan oleh PBS Kemabong. Memorundum ini melibatkan penduduk dari pelbagai kawasan dalam daerah Tenom, Sipitang dan Nabawan. Dalam dokumen berkenaan, penduduk menyertakan senarai penuntut, bukti bergambar, peta/pelan kawasan dan bukti dokumentasi yang menyokong permohonan mereka. Terdapat dua asas tuntutan mereka yakni (i) tuntutan oleh mereka yang kini tidak tinggal di kawasan yang dituntut  (contoh Kg Pongolibon, Kg. Manining dan Kg. Katambalang) dan (ii) tuntutan oleh mereka yang tmasih inggal di kawasan dituntut (contoh Kg Kapulu, Kg. Sumambu dan Kg. Katubu).

“Kami bukan berniat mengapi-apikan penduduk. Mereka ini melihat bahawa mereka mempunyai asas tuntutan. Mereka ingin diberikan perhatian dan pertimbangan. Saya lebih yakin kepada perundingan dan permohonan secara terbuka antara kerajaan dan penuntut. Saya tidak memaksa kerajaan untuk meluluskan permohonan mereka namun saya mahu kerajaan memberikan pertimbangan yang mengambil kira akan kebaikan bersama.” Demikian pandangan Puan Sabini. 

“Penduduk semakin bertambah, tanah yang diusahakan yang diperolehi di kawasan hilir (dekan pekan) semakin sempit. Penduduk terdesak untuk kembali ke kampung asal sebelum nenek moyang mereka diarah pindak ke kawasan hilir oleh kerajaan terdahulu. Hanya perkampungan asal yang mereka tahu. Mereka bukan melanggar hak milik Jabatan Hutan atau SFI, Bagi mereka Jabatan Hutan atau SFI lebih muda dari kewujudan kampung asal mereka yang ditinggalkan secara paksa-rela oleh nenek-moyang mereka. Mereka hanya mahu pulang ke kampung yang dirampas oleh Jabatan Hutan Dan SFI.

“Kami mendapat aduan bahawa ada pihak tertentu merancang untuk mengeluarkan tanah adat ini (termasuk Kg. Katubu, Kg. Kapulu dan Kg. Sumambu) untuk tujuan pertanian. Sebuah syarikat akan menjalankan kerja-kerja perladangan. Penduduk kampung akan ditempatkan di perkampungan baru yang jauh dari kampung asal mereka. Meskipun ada persetujuan KK dan PJKK, penduduk pada dasar kononnya telah ditipu. Saya berpendapat kes ini perlu disiasat, saya mahu pihak berkenaan tampil memberikan penjelasan. Jika benar maka tindakan wajar hendaklah diambil. Tidaklah baik mengambil kesempatan atas kesulitan dan kelemahan orang kampung dengan menghalalkan kemusnahan hak asasi penduduk. Kuasa yang ada sekarang hendaklah digunakan demi untuk rakyat bukannya untuk kepentingan segelintir individu dan syarikat tertentu,” tambahnya lagi.

Beliau mencadangkan agar pihak Jabatan Hutan dan rakyat bertenang dan dalam masa yang sama para pemimpin turun ke akar umbi untuk menyiasat serta mendapatkan penjelasan pihak terbabit. “Memang isu ini panas, kita kena cari formula untuk meredakannya. Dalam masa sama penyelesaian yang berpanjangan mesti dicari dan diputuskan. Kerajaan harus menolong rakyat dan rakyat harus tahu bahawa Jabatan Hutan dan SFI hanya menjalankan tugas.”

Puan Sabini memuji keprihatinan dan komitmen yang ditunjukkan oleh YB Datuk Raimie Unggi dan Encik Saul Salleh. Beliau berpendapat bahawa inilah masa pemimpin dan rakyat bekerjasama tanpa mengira fahaman politik untuk memperjuangkan permasalahan rakyat. Menurutnya lagi, usaha YB Datuk Rubin mewujudkan agropolitan di Kabintaluan turut dipuji. Meskipun begitu, masih banyak yang perlu diusahakan msecara kolektif dan kolaboratif demi merealisasikan suatu perbincangan yang efektif dan menguntungkan semua pihak dan meminimumkan efek negatif terutamanya kerajaan di mata beribu-ribu penduduk terlibat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: