Ucapan Dasar Ketua Bahagian N.36 Kemabong sempena AGM PBS 2010

UCAPAN DASAR KETUA BAHAGIAN
PENGENALAN:
1. Selamat sejahtera, shalom, salam satu Malaysia dan salam bersatu. Sebelum saya memanjangkan ucapan ini, saya ingin melahirkan rasa bersyukur kepada Tuhan yang sangat Maha Pemurah dan Maha Adil kerana dengan limpah kasihnya maka kita dapat bertemu dan melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun 2010.
2.  Sesungguhnya pada usia parti yang masih hijau di Kemabong ini, kita sudah dapat berpimpin tangan dan berganding bahu menempuh ranjau dan duri berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dalam memperjuangkan rakyat menerusi parti PBS ini.
3.   Semua ini secara jelas menunjukkan kepada kita bahawa parti ini bukannya ditolak rakyat sebaliknya masih releven di mata dan hati rakyat. Tidak salah jika saya katakan bahawa saudara dan saudari yang berdiri teguh di bawah naungan parti ini sesungguhnya telah mengambil keputusan dan tindakan yang tepat, memilih PBS sebagai wardah perjuangan saudara dan saudari demi untuk hidup yang aman, damai dan permai.
4.   Banyak harapan dan rancangan tertumpu pada parti ini, namun saya sedar malah insaf bahawa usaha yang gigih ditaburkan belum tentu akan berjaya jika tanpa penyertaan dan menurut kehendak Tuhan. Maka benarlah dikatakan bahawa `kita hanya mampu merancang dan berusaha, Tuhan yang memakbulkan’. Justeru itu, demi untuk kebaikan rakyat, marilah kita sama-sama banyak berdoa dan bersatu hati serta saling mendorong dan berusaha agar impian dan usaha akan menjadi kenyataan.
5.   Apapun, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan, para perwakilan dan pemerhati di atas kehadiran ke Mesyuarat Agung Tahunan ini. Marilah kita pergunakan peluang ini menjadi saluran suara rakyat dan medium transformasi minda dan tindakan kita, agar perjuangan kita bererti, berkesan dan cemerlang demi untuk `survivality’ dan kepentingan keturunan kita akan datang.
ASAS PERPADUAN:
YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan, hadirin yang saya hormati;
6.  PBS adalah parti anak watan Sabah. Parti ini lahir dari pengalaman yang banyak mengajar kita betapa perlunya kesepakatan dalam mempertahankan hak dan kepentingan rakyat Sabah. Kesepakatan ini memohon kita agar bersatu dan melupakan sengketa dan perbezaan.
7.   Namun kesepakatan kita seolah-olah dirobek secara halus dan rakus oleh pihak lain yang ingin menghisap sepuasnya madu kemesraan dan kesabaran rakyat kita. Usaha mereka akan berjaya, niat mereka akan tercapai dan kita kelak akan terus menjadi kuda tunggangan mereka jika kita tidak berinisiatif saling menyedarkan diri dan bangun sebagai warga yang bermaruah dan berwibawa.
8.   Sesungguhnya, hanya dengan patriotisme yakni rasa sayang akan Sabah dan kasih akan rakyatnya mampu mengeratkan kesepakatan kita. Saya tahu malah yakin, semua kita mempunyai rasa kasih dan menaruh harapan supaya keturunan kita mempunyai hidup yang terjamin dan sempurna. Namun apakah akan berlaku nanti jika kita membenarkan hak kita dilacurkan oleh keserakahan dan kerakusan kuasa, harta dan pangkat oleh segelintir individu yang senang disusun dan senang diurus oleh pihak lain?
9.   Maka tanpa mengira kaum dan agama, tua maupun muda, miskin maupun kaya, sempurna maupun cacat, marilah sama sama bersatu hati dalam usaha dan doa. Pendirian kita hendaklah satu tujuan, satu usaha, satu pendirian dan satu suara, bahawa kitalah yang lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Sesungguhnya, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Bersatu kita teguh, Bercerai kita roboh.
MENGENAL KEPINCANGAN:
YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan, hadirin yang dihormati;
10.   Ahli strategi China yang masyhur, Shu Tzu pernah berkata, ‘kenalilah musuhmu’ dan saya tambah dengan satu lagi nasihat, `kenalilah juga dirimu sendiri’. Memang perkara yang paling sakit ialah mengenali dan menerima kepincangan sendiri. Janganlah melihat pada kelebihan diri sendiri sahaja, lihatlah juga pada kelemahan diri sendiri. Sesungguhnya menafikan realiti diri menjadikan peribadi kita sendiri sebagai penghalang kemajuan dan punca kehancuran. Sejarah telah membuktikan bahawa kealpaan dalam merenungi diri dan merawat diri akhirnya memakan diri.
11. Bukan hanya pada individu masing-masing, parti juga masing masing perlu mengkoleksikan diri. Para pemimpin dan ahli hendaklah berusaha melihat parti dari pelbagai sudut, yakin dari kelebihan dan kelemahan. Jika ada, sesakit mana sekalipun, semalu mana sekalipun, kelemahan hendaklah dihadapi dan dicari jalan agar di atasi. Tidak guna kita membesar-besarkan kelebihan namun kelemahan cuba disembunyi dan akhirnya tidak mampu lagi dibendung sehingga menjadi bualan ramai.
YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan, hadirin yang dihormati;
12.   Sebagai rakan sekerajaan, marilah kita mendengar dan melihat isu-isu yang hangat diperkatakan oleh rakyat. Janganlah kita menutup mata sebelah dan menganggap isu itu sebagai gossip belaka. Hendaklah kita kaji dan renungkan, memang tidak rugi untuk turun ke akar umbi, melihat sendiri permasalahan rakyat. Sebabnya jika isu itu betul, maka kita berpeluang mencari jalan penyelesaian dan meredakan keadaan. Janganlah kita angkuh dan tidak bertindak mengikut akal dan norma. Marilah kita menjauhi keangkuhan dan darah dingin kerana, ‘ikut hati, merintih; ikut rasa, binasa’.
13.   Saya tahu dan perasan, ada pihak yang menolak saranan, nasihat dan pandangan serta usaha pemimpin kita membimbing ke jalan yang betul. Apabila dibisik, mereka berdiam. Apabila dinasihati mereka bermasam muka. Apabila ditegur, dia melenting. Sikap seumpama ini bukan hanya mengheret semua ke arah ketidak tentuan dan kejatuhan malah seumpama ‘retak menanti belah’. Sesungguhnya kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka ibu. Apa yang penting, bulat kata kerana muafakat. Jadi ambillah ikhtibar, buang yang keruh, ambil yang jernih.
FORMULA MERELEVENKAN PARTI:
YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan, hadirin yang dihormati;
14.   Akhir-akhir ini banyak pihak menuduh PBS seperti tidak bertaring lagi. Mereka menganggap PBS seumpama kerbau dicucuk hidung. Ini kerana PBS dikatakan senyap, diam seribu bahasa dan bukan lagi jaguh memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat. Adakah ini benar?
15.    Bagaimana sekalipun kita menafikan, bagaimana sekalipun kita membela diri. Penafian dan pembelaan kita sukar berhasil. Bagaikan sumpahan kita dibayangi dan ditutupi oleh parti lawan, parti pembangkang. Hal ini akan semakin parah jika parti kawan pula seolah terlepas pandang dan syok sendiri. Amat sukar sekali jika kita sedang menangkis panahan musuh sambil mengelak terpijak najis rakan sendiri.
16.   Maka dengan itu kita hendaklah ‘berubah untuk berbuah’. Kita bukan berubah sehingga lupa diri, lupa kawan. Kita harus berubah berdasarkan kelemahan yang telah dikenal pasti.  Fokus kita pada buah hasil usaha kita.
17.   Dengan yang demikian saya mengemukakan formula berikut iaitu,
1.  Ketrampilan baru;
2.  Resepi baru;
3.  Nafas baru;
4.  Suara lantang
Formula ini, ringkasnya KRNS atau dikenali sebagai ‘KERANA SABAH’ merupakan satu cubaan untuk keluar dari kemelut yang melanda PBS.
18.   Memanglah PBS setakat ini disayangi dan dipuja. Namun tidak salah untuk PBS digilap dan dicanai sehingga menjadi parti yang releven dan ‘dependable’ kepada rakyat sehingga bukan hanya disayangi, dipuja malah dibela dan dimartabatkan.
KEPIMPINAN BERKESAN:
YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan, hadirin yang dihormati;
19.  Ramai orang yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin tidak kira di rumah, di pejabat mahupun dalam parti. Niat sedemikian tidaklah jelek. Sesungguhnya di mana ada kemahuan, di sana ada jalan.
20.   Sungguhpun begitu, setiap pemimpin mahupun bakal pemimpin hendaklah insaf bahawa memimpin manusia dalam parti itu bukanlah tugas mudah. Ramai pemimpin jatuh kerana mereka gagal menjadi `pemimpin yang dipimpin oleh rakyat’. Apakah maksud pemimpin yang dipimpin oleh rakyat? Maksudnya pemimpin yang mengutamakan rakyatnya.
21. Hendaklah diingat bahawa pemimpin merupakan individu yang dipilih oleh majoriti rakyat. Pemimpin ini ada kerana rakyat dan kepada rakyat dia harus berkhidmat. Namun apakah slogan yang baik bagi kepimpinan sedemikian? Saya berpendapat pemimpin yang baik ialah `Pemimpin Melayani’. Namun janganlah pula ada segelintir rakyat yang nakal sehingga menyusahkan pemimpin.
22.  Apapun, pemimpin hendaklah sanggup menabur benih. Tidak ada pohon yang akan tumbuh subur jika tanpa diusaha, dijaga dan dilindungi. Begitu juga, pepatah mengatakan bahawa `Niat hati hendak memancing ikan, tak mahu buang umpan.’ Maka dengan itu, jadilah pemimpin yang sanggup berkorban masa, tenaga, wang-ringgit. Ingatlah siapa yang menabur banyak, hasilnya juga banyak, siapa yang menabur di semak belukar, sendiri luka terkena duri. Hasil puntak dapat.
23. Ingatlah bahawa seseorang pemimpin sama ada di peringkat cawangan, bahagian maupun pusat, hendaklah seorang yang mempengaruhi orang bawahannya bersama-sama berusaha untuk mencapai sesuatu tujuan. Sesungguhnya jawatan dan penampilan semata-mata tidak membawa kita ke mana, sebaliknya jika kita ada inisiatif, kita akan menjadi pemimpinyang berkarisma dan berkesan.
MEMBELA RAKYAT:
YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan, hadirin yang dihormati;
24.  Kita banyak mendengar desas-desus. Desas-desus ini mencerminkan senario dan trend yang sedang berlaku di peringkat akar umbi. PBS sebagai sebuah parti yang berteraskan prinsip `memperjuangkan rakyat menerusi parti’ berangapan bahawa desas-desus itu perlu disiasat dan diklasifikasikan segera.
25.   PBS akan mengambil tindakan berdasarkan kemampuan dan saluran-saluran yang tersedia. Jika kedapatan, tindakan dan perancangan atau saluran sedia ada pincang, PBS perlu mengambil pendekatan yang lain.
26.   Memang antara kebimbangan dan ketidak puas-hatian rakyat yang agak kritikal akhir-akhir ini adalah berkaitan isu `tuntutan dan pemilikan tanah’; isu `pendatang tanpa izin dan kewarganegaraan’ dan `ketidak adilan dalam pengagihan bantuan kebajikan’ serta `pengagihan dan kemajuan peruntukkan pembangunan’ selain `masalah dalaman BN’.
27.   Meskipun kita dalam BN dan masih ingin menyokong BN sekarang dan pada masa depan, pihak lain tidak boleh menafikan hak PBS untuk bersuara dan memperjuangkan rakyat majoriti sesuai dengan matlamat dan objektif parti ini.
28.   Jadi PBS tidak akan tunduk dan akur jika kepentingan rakyat majoriti terancam. Kita percaya bahawa parti kita masih boleh berfikir dan bersuara; merancang dan bertindak. Maka dengan itu PBS menegaskan dan berikrar tidak akan tunduk pada mana-mana tekanan dan pujukan pihak tertentu termasuk pembangkang yang bertentangan dengan suara majoriti rakyat.
PERSAINGAN DENGAN PARTI LAIN:
29.  PBS di Kemabong ini secara berterusan mendapat diskriminasi, tekanan dan cabaran dari parti lain. Parti-parti ini bertujuan meraih sokongan atau menekan pentadbiran bahagian ini atau menafikan kekuatan parti PBS secara keseluruhan.
30.   Kita melihat ada segelintir pemimpin beralih perahu terpuji dengan hasutan, pujukan maupun janji. Pemimpin ini sebahagian dalam proses siasatan dan tindakan. Bagai manapun kita tidak membiarkan ahli yang kehilangan pemimpin ini, susup-sasap tanpa perhatian. Kita sedang mencari dan melatih bakal pemimpin yang mampu mengambil-alih cawangan yang bermasalah kepimpinan.
31.   Namun kita bersyukur bahawa masih ramai rakyat yang memohon masuk PBS dan dalam proses pendaftaran. Beberapa cawangan telah diaktifkan malah beberapa cawangan yang bermasalah ada yang telah pulihkan. Pendaftaran yang terus bertambah membuktikan PBS Bahagian ini masih diterima dan dianggap releven.
32.   Sungguhpun begitu, kita mesti menghadapi saingan parti lain dengan berhemah dan bijaksana. Adalah dicadangkan kita memenangkan ahli dan bakal ahli, bukan dengan cara memberi atau menjanjikan mereka ikan. PBS sebagai parti tempatan tidak berniat membeli keahlian atau undi. PBS berhasrat mengajar mereka menangkap ikan, PBS lebih senang maju bersama-sama dengan ahli dalam situasi menang-menang.
33.   Selain pendekatan KRNS, PBS Kemabong berhasrat untuk menunjukkan keupayaan dalam menjadi rakan rakyat yang proaktif dan dinamik serta progresif. Ini hanya dapat dicapai dengan cara berusaha keras, berkomitmen tinggi dan ’smart’.
PEMBANGUNAN:
34.   Pembangunan insan di Kemabong masih pada tahap yang rendah. Kita dapati golongan penduduk yang berpendidikan diploma atau sarjana muda dan ke atas adalah sangat sedikit. Begitu juga pada kualiti pencapaian pelajar lepasan SPM dan STPM.
35.   Permasalahan ini secara langsung menyebabkan kita kekurangan penduduk yang berdaya saing dalam pekerjaan. Kelemahan mendapatkan kerja yang terjamin mengakibatkan taraf hidup masyarakat sukar berganjak dari kemiskinan.
36.    Maka adalah dicadangkan agar suatu usaha bersepadu hendaklah dilaksnakan guna menarik minat dan penglibatan golongan terpelajar memberikan khidmat nasihat dan ilmu kepada rakyat. Usaha ini tentunya memerlukan kesepakatan di antara ibubapa pelajar dengan pihak penganjur.
37.   Kita juga mendapati bahawa kemudahan infrastruktur masih pada tahap yang belum memuaskan. Pembangunan yang agak pelahan meskipun telah 20 tahun dalam pentadbiran BN menyebabkan rakyat mulai bosan. Justeru itu adalah dicadangkan agar beberapa projek seperti penaik tarafan jalanraya utama yang masih daif hendaklah didahulukan.
38.   Jalanraya Kuala Tomani – Bakuku, jalanraya Kemabong – Rundum, jalanraya Kaparungan – Bangkulin serta Jalanraya Inubai – Angalor dan Kolorok hendaklah diturap segera. Kita percaya dengan cara ini, produktiviti rakyat akan meningkat dan ekonomi rakyat akan dijana. Pembinaan ini bukan hanya memberi keselesaan malah memudahkan rakyat memasarkan hasil pertanian guna meningkatkan ekonomi mereka.
39.   Kemudahan elektrik dan air juga masih pada tahap yang kurang memberangsangkan. Terdapat kampung yang masih belum mendapat bekalan elektrik kerajaan seperti Kampung Kapulu, Kg. Sumambu, Kg. Rundum, Kg. Katubu dan Kg. Kolorok. Bekalan air pula didakwa tidak mengikut standard dan sering terganggu.
40.  Kemudahan sanitasi seperti tandas, sinki dapur dan sebagainya belum dinikmati secara menyeluruh oleh penduduk kampung. Kita dapati bahawa penduduk banyak mengemukakan permohonan berkaitan namun masih belum mendapat peruntukan yang sewajarnya.
41.  Mahu tak mahu, PBS terpaksa tampil ke hadapan sebagai lidah dan suara rakyat. Dalam kedudukan PBS di sini yang hanya sebagai parti komponen tanpa suara di DUN atau Dewan Parlimen menyebabkan mungkin usaha kita agak terbatas keberhasilannya.
42.   Sungguhpun begitu, mencuba lebih baik daripada berdiam diri. PBS tidak boleh dan hendaklah menjauhi tanggapan orang bahawa ’seperti kerbau dicucuk hidung’. Menjauhi tidak cukup. PBS perlu peka dan bertindak sehingga rakyat majoriti melihat PBS sebagai wardah perjuangan mereka, sehingga PBS sinonim dengan istilah, ‘Jaguh memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat majoriti Sabah.’
KEAHLIAN DAN KERJASAMA BN:
43.   PBS Kemabong masih merupakan ahli komponen BN. Walau apapun khabar angin dan usaha pihak pembangkang memecah belah PBS dengan BN, PBS masih setia dan berpegang kepada konsep kesepakatan dan kerjasama BN.
44.   Kita tahu bahawa BN berdiri atas prinsip ‘Perkongsian kuasa yang adil.’ Justeru itu, PBS menuntut agar parti yang dominan agar melayan kita sebagai sebuah parti yang berdaulat dan layak diberikan perhatian sewajarnya.
45.  Jika kita dalam PBS mendapati wujud diskriminasi dan tekanan dalam BN, tentu sekali ini akan mengecewakan ahli. Tentunya kita tidak dapat menjamin kesetiaan dan undi ahli PBS yang terkilan kepada calon BN.
46.  Memandangkan pendirian PBS Pusat masih bernaung dalam BN, maka sudah tentulah PBS Kemabong tidak akan ingkar. Sebaiknya, PBS Kemabong tidak ingin mempersoalkan kebijaksanaan PBS Pusat. Maka dengan kata ringkas, ’We just follow the order.’
PENUTUP:
47. Saya menyeru semua ahli PBS supaya mendukung kepimpinan PBS Pusat dan PBS Bahagian. Berilah kami kepercayaan dan bantulah kami agar kita mampu bergerak sepakat dalam “1 Usaha, 1 Matlamat, 1 Tindakan dan 1 Usaha’.
48. Marilah kita sama-sama berdoa dan saling mendoakan agar kita diteguhkan dan diberkati serta dirahmati maka dengan cara yang demikian, kita dalam PBS dapat memberikan yang terbaik kepada rakyat.
49. Sesungguhnya parti ini adalah milik rakyat. Parti wujud kerana rakyat dan perjuangan parti adalah untuk rakyat. Kita bersetuju dan mendukung inspirasi Perdana Menteri, ‘rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.’
50. Walaupun begitu, saya tidak putus-putus menasihati ahli agar jangan terlalu hilang fokus perjuangan dengan hanya sogokan wang, pangkat mahupun jawatan. Saudara mendapat sogokan itu dan memakainya sekejap, namun menderita selamanya.
51.  Hendaklah kita ingat bahawa ‘Utamakan dahulu kepentingan rakyat, diikuti kepentingan parti dan baharulah kepentingan diri sendiri.’ Dengan ini, kita akan memberi banyak kepada rakyat dan kita nampaknya berkhidmat dan melayani rakyat.
52.   Jadi rakyat dididik berdikari dan lebih bertanggungjawab. Pemimpin dididik lebih amanah dan berjiwa rakyat. Pemimpin dan rakyat adalah seperti aur dengan tebing, seperti irama dengan lagu, kedua-duanya tidak dapat dipisahkan.
53.  Akhir sekali, janganlah kerana marahkan nyamuk maka kelambu dibakar. Carilah dimana bocor kelambu dan nampallah ia, sebab harga membeli kelambu sangat mahal. Lagipula takut masa membakar kelambu, rumah pula yang terbakar.
Selamat bermesyuarat dan Tuhan memberkati.
Menjalankan tugas,
SABINI BINTI ANSUMOR
KETUA BAHAGIAN PBS, N.36 KEMABONG,
EXCO WANITA PUSAT,
AHLI MAJLIS DAERAH TENOM,
EXCO WANITA P.181 TENOM.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: