Pokok impian

Pokok yang sihat dan redang, menjadi tumpuan dan tempat berteduh manusia. Pokok sedemikian adalah seumpama parti yang masih releven dan boleh diandalkan oleh para pemimpin dan rakyat. Parti yang bukan mengharapkan ikhsan malah merupakan parti yang boleh membela hidupan yang bernaung di bawahnya serta tidak tunduk pada beban dan tanggung jawab yang diamanhkan padanya. Inilah nama sebuah perjuangan. Fikirkanlah ungkapan: Memperjuangkan rakyat melalui parti kah atau memperjuangkan parti melalui rakyat? Yes… memperjuangkan rakyat melalui parti.

Pokok yang malang akhirnya dicengkam oleh pokok yang menumpang.Lihatlah situasi pokok ini. Pokok yang anda lihat adalah pokok penumpang. Pokok penumpang ini telah membesar dan kini memakan habis pokok yang ditumpanginya. Adakah anda mahu parti kita turut berkubur selepas memberikan naungan dan sokongan kepada parti lain yang secara nyata berniat untuk mempergunakan kita? Parti hendaklah mempunyai pendirian dan pendirian bertujuan untuk memastikan kemandirian (survival) disamping menjadikan hidupan yang bernaung di bawahnya terpelihara dan puas hati. Ini konsep perjuangan parti iaitu mengutamakan rakyat kerana: tanpa rakyat, tiada parti. tanpa rakyat, tiada pemimpin. tanpa rakyat, tiada kuasa.

Menanam pokok pada tempat dan tanah yang alang-alang akan menghasilkan pokok yang tidak tahan lama, mudah tumbang atau jatuh mengikut tanah runtuh atau kehabisan nutrien yang baik untuk pertumbuhannya. Janganlah kitanya kerana asas perjuangan yang cetek dan etika kerja, polisi yang dangkal dan pertimbangan yang tidak konsisten maka parti tidak bertahan lama malah hidup segan mati tak mahu.

Biar bagaimana cantik sepohon pokok, jika pokoknya senget, hidupan di bawahnya akan berada dalam keadaan tertekan dan cemas. Kita tidak mahu sokong menanti rebah. Kita tidak mahu parti yang dijadikan sandaran dan harapan akan mengecewakan rakyat. Perlu juga diingat, pokok yang tidak kukuh, tidak lagi pada  landasan yang menghala ke atas, kemungkinan pokok itu kehilangan orang yang bernaung di bawahnya. Jika rakyat hilang percaya atau keyakinan, parti akan lemah. Parti juga akan ditebang atau tumbang sendiri.

Alangkah hebatnya pokok yang boleh terbang. Pokok yang subur dan teguh mampu memukau mata memandang. Namun parti yang diimpikan janganlah tidak berjejak di bumi yang nyata. Parti yang releven ialah parti yang bersentuhan dengan rakyat, parti yang bukan syok sendiri atau menjanjikan harapan atau impian terlalu tinggi. Parti hendaklah lebih kreatif dan kritis tetapi tidak ilusi dan abtrak. Ingatlah, rakyat bukan untuk dijanjikan dengan impian yang kosong. Mereka ini perlu dilayani dengan khidmat yang realiti.

Alangkah baiknya menjadi sepohon pokok yang sihat. Pokok yang berdahan, bercabang dan berranting yang lebat dan berdaun lebat. Namun pokok yang redang perlu dibersihkan di sekitarnya. Pohon yang redang namun di bawahnya bersemak-samun menakutkan hidupan bernaung. Parti yang releven dan menjadi keminatan rakyat ialah parti selamat, melindungi dan menyenangkan rakyat.

Unik dan hebat, itulah komen yang sering disebut oleh para pemerhati apabila bertandan ke pohon pokok berkenaan. Pemerhati sentiasa memerhati dan mengamati. mereka akan melihat dan menghayati serta menilai. Parti-parti yang ada akan diperhatikan oleh rakyat. Mereka menilai pencapaian dan situasi dalaman parti. Mereka perlu diyakinkan untuk memberikan wajaran yang kita ingini. hanya dengan menyebabkan mereka yakin maka kita dapat membawa mereka menghampiri dan bernaung di bawah parti kita.

Betapa cantik sekalipun pemandangan pada pokok-pokok; keindahan, keunikan, kepermaian dan daya penariknya akan tersembunyi jika persekitarannya merundum. Begitu juga dengan parti-parti apabila tidak ada lagi sinar mentari yang menyinari. Justeru itu adalah penting bagi parti berusaha untuk mengelakkan terpalit dengan kombinasi yang menyebabkannya suram dan tersembunyi. Rakyat tidak akan menikmati kebaikan dan kelebihan parti apabila mereka tidak melihat usaha baik dan kemajuan parti. Usaha dan kebaikan itu perlu dipublishkan, diwar-warkan sebagai salah satu siasah dan propaganda yang ampuh. Janganlah pula ditokok tambah dan dirempah ratuskan seterlaluan, takut pula yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran.

Pokok yang dikira unik, hairan binti ajaib dan mistik, bukanlah jaminan pokok berkenaan akan disayangi dan bertahan lama. parti yang banyak skandal, yang banyak mengelirukan atau melangkau tahap penerimaan umum bukan hanya menyebabkan kehilangan sokongan malah menunggu masa untuk hilang gah dan kemuliaannya. Parti seumpama ini adalah parti yang meniti zaman akhirnya. Parti yang bersedia gulung tikar atau dilabuhkan tirainya.

Bayangkan sepohon pokok yang terletak di tengah padang. Agaknya pokok berkenaan akan menjadi tumpuan dan perhatian. Namun mampukah pokok ini menjadi naungan banyak hidupan? Parti yang berdiri sendiri dan tidak mempunyai saingan memang menyeronokkan. Diakui ramai bahawa sebuah kerajaan mesti mempunyai parti dan jika hanya satu parti maka parti itulah kerajaan. Namun bagaimana agaknya rakyat yang berada di sekitar pokok berkenaan. Adakah mereka menerima pokok ini secara total atau sedang mengimpikan atau membandingkan prestasi pokok ini dengan pokok lain. Mungkinkah akan wujud usaha menanam pokok lain kerana sudah bosan dengan parti sedia ada? Apapun yang anda impikan, ingatlah bahawa jika anda mahu parti sendirian, pastikan pokok itu kukuh menahan ribut yang kencang. Jika anda ingin bersekutu, pastikan sekutu anda mengamalkan perkongsian kuasa dan idea serta usaha yang kolektif, turus dan seimbang.

Kadangkala, tunas baru banyak tumbuh. Begitu juga dalam parti, akan tumbuh tunas-tunas pemimpin yang mulanya hijau namun semakin matang dan menjadi sandaran kesinambungan perjuangan pemimpin generasi tua. Pemimpin tua telah berkhidmat dan meletakkan landasan dan batu penjuru, kepimpinan muda perlu mempertahan, memperteguhkan, pemperkembangkan malah mempermantapkan perjuangan berkenaan. Kepimpinan tua dan muda seperti aur dengan tebing, saling memerlukan dan melengkapi. Ingatlah apabila gagal melahirkan kepimpinan baru yang proaktif, dinamik dan berkesan, parti akan berkubur tanpa pewaris dan penerus kemandiran. Maka akan tumbuh parti lain dan parti lama tinggal kenangan jika tidakpun hanya cacian.

Mahu tak mahu pokok hendaklah mampu berinteraksi dengan persekitarannya. Pokok yang sihat adalah pokok yang hidup dan bergerak. Lantaran itu,  adalah wajar pokok mempunyai pendirian yang kukuh dan berkembang serta bergerak ke arah sasaran. Parti yang interaktif dan peka akan rakyat adalah parti yang disukai ramai. Pendirian parti yang konsisten dan teguh dalam menjaga kepentingan dan memperjuangkan rakyat sebagai keutamaan menyebabkan parti terus releven. Dalam usaha mencapai sasaran yakni menimba sebanyak-banyak sinaran kecemerlangan dan menghirup sebanyak mungkin air kehidupan serta nafas perjuangan, janganlah lari fokus dan kehegeh-hegeh sehingga melompat ke sana- ke sini menafikan suara majoriti rakyat yang memilih. Biarlah tupai melompat atau burung terbang lari, namun asas perjuangan dan kewujudan parti terus kukuh. Kita baja parti dengan konsep; parti dari rakyat, kepada rakyat dan kerana rakyat. Maka ingatlah parti dan rakyat perlu bersatu. Kesatuan membuahkan hasil yang diimpikan.

Jadi apakah pokok impian yang terlukis di minda kita. Perlukah kita memperkatakan pokok ini dalah suara yang tersekat jauh di sanubari atau melukiskannya dengan dakwat merah semangat dan silat gerak langkah perjuangan. Apapun, ternyata impian tidak akan menjadi kenyataan jika tidak diiringi dengan tindakan ke arah merealisasikannya. Sediakan tapak semaian; semailah benih; baja dan siramlah benih; jaga dan belalah pokok, semoga buah yang dikeluarkan mampu menjadi buah yang mengenyangkan atau serba guna. Ingatlah pokok yang terbaik ialah pokok yang boleh digunakan mengikut cita rasa penanamnya… dan penanamnya tidak lain dan tidak bukan ialah RAKYAT.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: