Kalimaran kali-8 2010 (Bernama)

TENOM, 4 April (Bernama) — Majlis Ansaluang atau Rumah Terbuka kaum Murut, dianjurkan buat pertama kali di hari terakhir Pesta Kalimaran yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Murut Sabah, dekat sini.

Majlis Ansaluang, yang merupakan tradisi satu daripada tujuh suku kaum Murut iaitu Murut Tahol, dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah turut memaparkan tarian gabungan etnik kaum itu serta Sabah, Cina, India dan Melayu dalam konteks 1Malaysia.

Buat pertama kalinya juga, kira-kira 10 menu makanan tradisi Murut dihidangkan semasa rumah terbuka itu, antaranya Umbud Imbalua (sayur dari hutan), Umbus (pucuk ubi), Lamu Binulu (nasi dibakar dalam bambu), Linopod (nasi dibungkus daun), sayur rebung, ikan pekasam dan tulang kerbau.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Ellron Angin semasa merasmikan acara itu berkata selaras dengan hasrat kerajaan untuk ‘merakyatkan seni’, majlis Ansaluang ini dapat merapatkan jurang budaya serta menggalakkan perpaduan di kalangan semua etnik di Sabah.

“Melalui persembahan semasa Rumah Terbuka ini, konsep 1Malaysia yang mempunyai perpaduan, kerjasama dan kepelbagaian dalam budaya dan adat resam lebih ditekankan, serta minat dan apresiasi masyarakat terhadap industri seni persembahan etnik Sabah dan Malaysia amnya dapat ditingkatkan,” kata beliau.

Presiden Persatuan Murut Sabah (PMS) Datuk Rubin Balang berkata beliau berharap JKKN Sabah akan memberi sokongan berterusan daripada segi peruntukan bagi penganjuran Pesta Kalimaran di masa-masa akan datang.

Rubin berkata persatuan itu menyokong penuh akan sentiasa bekerjasama dengan Lembaga Kebudayaan negeri Sabah untuk menganjurkan Pesta Kalimaran di Kota Kinabalu tahun depan.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun semasa perasmian pesta itu semalam yang menyaranlan agar pesta itu turut dianjurkan di Kota Kinabalu, untuk menarik lebih ramai masyarakat luar untuk mengenali budaya suku kaum Murut.

“Kita akan adakan perbincangan (dengan pihak-pihak terbabit) dan beri cadangan kepada jawatankuasa terlibat, dan mengkaji aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan nanti.

“Kita nak beri tumpuan kepada sub-etnik Murut yang belum diberi pendedahan penuh pada majlis-majlis seterusnya,” kata Rubin.

Majlis Ansaluang ini merupakan kemuncak kepada Pesta Kalimaran yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat, dengan pelbagai aktiviti diadakan termasuk permainan tradisi Lansaran, pertandingan mencipta lagu Murut dan pertandingan ratu cantik Kalimaran.

Antara tarikan lain adalah gerai-gerai kraftangan dan pameran etnik Murut, mini konsert dan hiburan selingan pada waktu malam dan kehadiran Daud Udin, seorang lelaki Murut tertua di Sabah yang dipercayai berumur 112 tahun tapi kelihatan masih cergas.

Berasal dari Kampung Kuala Punti, Membulu di Keningau, ini merupakan kali kedua Daud, daripada suku kaum Murut Lundayeh, menyertai program Pesta Kalimaran.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: