UCAPAN PENGULUNGAN MINI KONGRES

UCAPAN PENGGULUNGAN YBG PN. SABINI BINTI ANSUMOR
KETUA BAHAGIAN MERANGKAP EXCO PERGERAKAN WANITA SABAH
SEMPENA MINI KONGRES PBS N.36 KEMABONG
BERTARIKH 28-30 JANUARI 2010
DI DEWAN SERBAGUNA KG. KALAMATOI, KEMABONG TENOM

PENGENALAN

YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan yang saya muliakan,

1. Selamat sejahtera, salam Satu Malaysia dan salam bersatu. Pertama-tama saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima-kasih diatas penglibatan dan sokongan padu yang tuan-tuan dan puan-puan telah berikan sepanjang Mini Kongres ini berlangsung.

2. Kita telah melihat kesungguhan dan komitmen tuan-tuan dan puan-puan selama ini. Sesungguhnya ini merupakan suatu senario yang membanggakan dan wajar dijadikan contoh.

3. Semua ini menyebabkan saya lebih banyak bersyukur dan sangat-sangat mensyukuri kasih karunia Tuhan yang Maha Esa. Saya yakin dan percaya, semua ini mempunyai hikmah disebaliknya.

4. Selama dua hari ini saya telah mendengar sebanyak lebih daripada 20 ucapan usul yang telah disampaikan oleh perwakilan. Setiap ucapan usul berkenaan saya anggap sebagai luahan rasa yang perlukan penghayatan, perhatian dan tindakan yang sesuai.

PERJUANGAN PARTI

YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan yang saya muliakan,

5. Saya diyakinkan oleh tuan-tuan dan puan-puan bahawa Parti Bersatu Sabah ini masih releven dan menjadi alternatif kepada rakyat untuk memperjuangkan hak dan kepentingan.

6. Saya setuju dengan kenyataan yang disampaikan oleh majoriti perwakilan bahawa PBS perlu diperjuangkan. Ini merupakan satu resolusi yang mengambarkan ‘general opinion’ masyarakat Kemabong.

7. Saya tersentuh dengan kesetiaan dan  pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh para penyokong parti selama ini. Mereka yang selama ini terus bertahan dalam parti dan mendapat himpitan diskriminasi yang kuat, namun masih bangkit menyahut kehadiran PBS dengan penuh lantang seperti yang ditunjukkan oleh En. Motoh dan En. Marusim.

8. Besar harapan saya agar pernyataan ini diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan perkataan. Semoga perjuangan tuan-tuan dan puan-puan dalam memartabatkan PBS tidak sia-sia.

9. Bidalan berkaitan kebun yang terbakar dan ‘pantun pisang emas bawa belayar’ dinyatakan oleh En. Marusim cukup mengandungi makna yang dalam. Sesungguhnya PBS perlu dipulihara dan ‘dibaja’ kerana ‘tanah’ ini yang akan membuahkan hasil yang baik menurut En. Maritin.

10. Maka kita terima usul berkenaan. Kita akan usahakan agar PBS bahagian ini diperjuangkan oleh ahli secara lebih efisien dan sistematik. Ini bukan senang dan kita memerlukan sokongan dan bantuan semua pihak termasuk para perwakilan dan pemerhati serta pemimpin PBS Pusat.

MEMANTAPKAN PARTI

YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan yang saya muliakan,

11. Seruan untuk menambahkan bilangan keahlian dan cawangan yang disampaikan oleh En. Maritin dan beberapa perwakilan mempunyai asas yang kukuh. Sesungguhnya parti yang tidak menunjukkan pertambahannya dianggap sebagai tidak dinamik dan tidak progresif.

12. Justeru itu, saya bersetuju agar semua ahli khususnya para pemimpin di peringkat atasan hinggalah ke akar umbi bekerjasama dalam menambah ahli. Sememangnya parti ini perlukan pertambahan ahli agar impaknya menjadi lebih besar dalam mempengaruhi keputusan kerajaan. Sesungguhnya semakin ramai ahli kita, semakin orang gerun dan ‘respect’ dengan kita.

13. Selain itu, marilah aplikasikan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari selama berkongres ini seperti kemahiran memimpin dan mengurus cawangan.

14. Biarlah kita menjadi contoh tauladan yang baik kepada masyarakat. Ini penting kerana parti yang disegani selari dengan pemimpin yang disegani.

SALURAN RAKYAT

YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan yang saya muliakan,

15. Saya telah mendengar harapan dan juga permohonan yang telah disampaikan oleh para perwakilan menerusi sesi Ucapan Usul di Mini Kongres ini. Saya faham, ahli-ahli cawangan dan rakyat majoriti perlukan pembelaan.

16. Lantaran itu saya akan berusaha untuk merapati pihak berkenaan seperti YB Datuk wakil rakyat DUN dan Parlimen kita.

17. Saya masih ingat, saya telah memilih beliau dalam Pilihanraya yang lalu. Saya yakin anda pun begitu juga. Justeru itu, sudah semestinya kita menuai undi kita itu. Itu hak kita dan kita bukan pembangkang.

18. Memang sewajarnyalah kita menyampaikan permasalahan rakyat kepada pihak yang betul seperti jabatan dan agensi kerajaan.

19. Alangkah baiknya jika saya sendiri di posisi dimana dapat memberikan penawaran kepada permohonan yang tuan-tuan dan puan-puan utarakan. Malangnya saya dalam keadaan terbatas.

KOMITED KEPADA BARISAN NASIONAL

YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan yang saya muliakan,

20. Saya difahamkan bahawa para perwakilan mendukung Barisan Nasional. Ini satu bukti bahawa PBS menyokong Barisan Nasional.

21. Malangnya seperti yang dinyatakan oleh majoriti perwakilan, nampaknya banyak keluhan berkaitan ketidak selarasan dan ketidak adilan dalam pengagihan peruntukan dan layanan sesama komponen. Kita mendengar sendiri beberapa perwakilan mempersoalkan kenapa PBS dilayan oleh pihak tertentu seumpama pembangkang.

22. Sepatutnya ini tidak boleh berlaku. PBS adalah parti komponen, kita berpegang dengan semangat ini. Kita akan berusaha mengingatkan mereka akan semangat ini bukan hanya disebut-sebut sebaliknya juga diamalkan mereka.

23. Jika benar usul ketidak adilan wujud secara berleluasa di Kemabong ini dalam BN, kita akan mengemukakan protes melalui pemimpin kita. Saya percaya tuan-tuan dan puan-puan lebih faham akan situasi yang dihadapi di tempat masing-masing, namun kiranya ada bukti yang lebih kukuh, kita mudah mengambil tindakan sewajarnya.

PEMBANGUNAN DIUTAMAKAN

YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan yang saya muliakan,

24. Majoriti perwakilan mahukan pembangunan. Sememangnya agenda kerajaan Barisan Nasional adalah untuk meningkatkan pembangunan.

25. Saya difahamkan bahawa pembangunan seperti kemudahan jalanraya, jambatan dan bekalan air bersih dan sukan masih menjadi masalah utama. Perwakilan banyak bercakap tentang tangki air, paip air dan juga rumah kebudayaan. Ini sangat menyentuh hati saya.

26. Meskipun banyak yang diusulkan oleh tuan-tuan dan puan-puan, saya pula bukan diposisi sesuai memberikan kelulusan. Faham-faham sahaja saya bukan ADUN atau MP.

27. Namun saya percaya YB Datuk wakil rakyat kita sebenarnya prihatin. Beliau sedang berusaha untuk membantu rakyat.

28. Saya sebenarnya telah dua kali bertemu dengan YB Datuk Rubin dan sekali dengan YB Datuk Raime. Kedua-dua pemimpin ini telah cuba meyakinkan saya bahawa mereka sedang ke arah itu. Saya berharap YB Datuk wakil rakyat terus komited dengan usaha berkenaan.

29. Saya terkejut malah tidak menyangka, rupanya ada pihak yang kononnya hanya memberikan bantuan dan peruntukan jika seseorang itu masuk parti sekian sedangkan orang itu ahli PBS, ahli Barisan Nasional. Apa sudah jadi ini?

30. Saya setakat ini menganggap isu ini ditimbulkan oleh pihak yang cuba ‘menangkuk di air yang keruh’. Pihak tertentu seperti yang dinyatakan oleh beberapa perwakilan ini, hanya mementingkan parti tempatnya memperoleh kerja dan membelakangkan kepentingan Barisan Nasional. Semoga ini bukan arahan wakil rakyat.

31. Berkaitan dengan ajakan beberapa pengusul agar kami, barisan Jawatankuasa tertinggi Bahagian melawat sendiri kawasan yang bermasalah, saya sendiri komited untuk berbuat demikian. Saya akan turun kampung-keluar kampung untuk melihat sendiri permasalahan rakyat.

32. Sebagai makluman tuan-tuan dan puan-puan, saya sendiri baru selesai menjalani pembedahan bersalin pada bulan oktober yang lalu. Saya faham dan terasa dengan keperitan yang dialami oleh YB Datuk Presiden yang turun dibedah dan dalam proses pemulihan. Namun saya yakin, masa untuk saya berkhidmat untuk rakyat telah tiba dan ini menaikkan semangat saya.

MEMANTAPKAN KEPIMPINAN DAN MENGOPTIMUMKAN PENGURUSAN

YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan yang saya muliakan,

33. Saya telah melihat hasil Mini Kongres ini, dan saya juga telah mendengar usul tuan-tuan dan puan-puan. Bahawa sesungguhnya kepimpinan dan pengurusan parti hendaklah dimantapkan dan dioptimumkan.
34. Saya bersyukur bahawa respon tuan-tuan dan puan-puan berkenaan wujudnya kesedaran dan masuknya serba sedikit kemahiran memimpin dan mengurus semasa Mini Kongres ini berlangsung sebagai petanda baik dan perlu ditingkatkan lagi.

35. Saya sedar, tidak semua kita mahir memimpin dan mengurus. En. Florentius yang merupakan lulusan Master dalam Pengurusan sendiri  pun mengakui bahawa bidang ini perlu dipelajari dan dipraktikkan sepanjang masa.

36. Demikianlah juga kita perlu belajar dan bukan hanya pandai mengomen kepimpinan dan pengurusan orang lain. Sesungguhnya apa-apa pengetahuan dan kemahiran itu perlu dipelajari meskipun usia kita semakin meningkat.

YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan yang saya muliakan,

37. Terima kasihlah di atas sokongan yang diberikan kepada barisan Jawatankuasa Bahagian, Pergerakan Pemuda dan Wanita Bahagian. Kita melihat ini sebagai satu suntikan semangat dan perlu menjadi titik tolak untuk kami berkhidmat dengan cemerlang kerana sesungguhnya ‘Pemimpin yang baik ialah pelayan yang baik’.

38.  Terima kasih atas peringatan tuan-tuan dan puan-puan kepada saya dalam memikul amanat dan tanggung-jawab sebagai Ketua Bahagian. Tuan-tuan mohon saya jangan melompat jika ditawarkan ganjaran. Ya, saya setia pada PBS dan patuh serta mengkagumi kepimpinan pusat PBS seperti YB Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, YB Maximus Ongkili dan YB Datuk Radin Malleh. Mereka ini merupakan tokoh idola saya dan saya tidak akan menghampakan mereka.

39. Saya tidak berniat mengambil-alih kedudukan wakil rakyat kita. Beri mereka peluang untuk berkhidmat, undi mereka dalam pilihanraya. Apa yang penting, selagi mereka menjaga kebajikan kita di PBS dan berusaha memenuhi apa yang kita perjuangkan terutama dalam pembangunan dan hak rakyat Sabah dan keadilan layanan sesama ahli komponen BN.

40. Terdapat beberapa perwakilan optimis bahawa PBS ada harapan diletakkan selaku calon pilihanraya. Ya, kita akan bertanding jika diberikan peluang oleh parti PBS dan BN. Namun biarlah pusat yang ditunjangi oleh Perdana Menteri dan Presiden kita yang membuat keputusan.

PERHATIAN PUSAT

41. Benarlah usul yang meminta kita untuk mendapatkan perhatian pusat yakni dari Pentadbiran PBS Sabah.

42. PBS Kemabong memang sedang giat dilakukan kerana kita percaya PBS Bahagian yang aktif menyumbang juga kepada kesejahteraan PBS secara umum.

PENUTUP

43. Saya berharap semoga semua usul ini kita akan ambil tindakan yang wajar dan setakat yang kita mampu. Kita mahu semua yang disebutkan itu, dirujukan

44. Sesungguhnya sekali lagi saya bersyukur dan memulangkan kepada Tuhan akan kebaikan-Nya.

45. Saya berpesan agar semua kita  tetap bersatu. Memastikan PBS berjaya dalam memperjuangkan rakyat. Bak kata perpatah: Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

46. Sokonglah PBS kerana parti ini sesuai untuk anda. Marilah laungkan:

Bersatu!…. Bersatu!…… Bersatu!

SABINI BINTI ANSUMOR
Ketua Bahagian PBS N.36 Kemabong
Exco Pergerakan Wanita pusat

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: