UCAPAN DASAR MINI KONGRES

UCAPAN DASAR YBG PN. SABINI BINTI ANSUMOR
KETUA BAHAGIAN MERANGKAP EXCO PERGERAKAN WANITA SABAH
SEMPENA MINI KONGRES PBS N.36 KEMABONG
BERTARIKH 28-30 JANUARI 2010
DI DEWAN SERBAGUNA KG. KALAMATOI, KEMABONG TENOM

PENGENALAN:

1. Selamat sejahtera, shalom dan salam satu Malaysia. Syukur kerana dengan limpah kasih kurnianya maka Parti Bersatu Sabah (PBS), parti yang kita sayangi ini telah berjaya diaktifkan semula di Kemabong.

2. PBS adalah parti watan, parti jati negeri Sabah yang telah membuktikan kemampuannya sebagai pendukung wardah perjuangan rakyat. Parti ini adalah nurkilan rasa rakyat yang inginkan pembelaan dan pembangunan sosio-ekonomi yang menyeluruh lagi seimbang.

3. Namun saya insaf bahawa sebagai manusia kita dapat merancang banyak perkara yang besar, perkara yang indah dan mengkagumkan untuk parti, untuk rakyat, untuk Sabah dan untuk Malaysia. Namun hanya dengan usaha gigih kita semata-mata, kita cenderung menempuh kegagalan. Sesungguhnya kita memerlukan campurtangan illahi untuk merealisasikan setiap perancangan yang bermakna dan berfaedah itu. Tanpa Tuhan sia-sialah usaha kita.

4. Saya sangat berterima kasih kepada YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan, para perwakilan dan pemerhati di atas kehadiran ke Mini Kongres ini. Marilah kita pergunakan peluang ini sebagai saluran suara rakyat dan medium transformasi minda dan tindakan kita, agar berjuang dengan lebih bererti, berkesan dan cemerlang demi untuk `survivality’ dan kepentingan keturunan kita akan datang.

PERJUANGAN PARTI:

YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan, hadirin yang saya hormati;

 5. PBS sesungguhnya merupakan medium kepada perjuangan rakyat dalam usaha berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan rakyat yang lain. PBS bukanlah satu parti yang bersifat perkauman atau sentimen kedaerahan yang sempit. Ianya merupakan kesatuan dan koleksi ‘general political thinking’ rakyat yang membuntukan perhatian dan perkhidmatan berkesan dan berkualiti serta jaminan hak yang terjaga dan dipenuhi.

6. Celaan segelintir pihak bahawa PBS memperjuangkan parti melalui rakyat tidak betul sebaliknya, sebenarnya rakyat memperjuangkan kepentingannya melalui parti.

7. Suara sumbang mengatakan bahawa PBS tidak lagi lantang dalam mempertahankan hak rakyat. PBS kononnya seperti ayam sabung tua; tidak boleh lagi berkokok. Sesungguhnya PBS masih seperti dulu. PBS masih lantang menyuarakan permasalahan rakyat.

8. Sebagai parti komponen, tak perlulah bagi PBS menyalak kerajaan. PBS kini ditunjangi oleh para barisan tokoh pemimpin yang sentiasa menyampaikan permasalahan berkenaan menerusi saluran yang betul. Kita hendaklah sedar bahawa perbuatan menyalak biasanya menyebabkan orang menjauhi dan tidak kasihan akan kita.

9. PBS telah berusia di ambang 25 tahun dan merupakan parti tempatan tertua di Sabah. Ini merupakan satu rekod parti tempatan yang sangat mengkagumkan. Di kala parti lain yang tumbuh seumpama cendawan, banyak juga yang kini terumbang-ambing dan sebahagiannya telah bersara awal.

10. Namun PBS masih mendapat undi majoriti rakyat. Undi ini adalah kepercayaan dan keyakinan. Undi ini adalah pengiktirafan bahawa PBS masih releven sebagai medium keperluan rakyat dan wardah kemandirian generasi rakyat Sabah. Saya bertuah menjadi ahli PBS. Anda sebenarnya bertuah memilih PBS sebagai parti anda. Kita sama-sama bertuah memiliki PBS yang boleh disandarkan dalam perjuangan rakyat Sabah.

MEMANTAPKAN PARTI:

YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan,

11. Jika kita memilih PBS sebagai medium perjuangan kita, kita mestilah memantapkan PBS ini. Parti yang mantap bukan sahaja kerana dia mempunyai perwakilan yang ramai dalam DUN dan Parlimen sebaliknya mempunyai sejumlah penyokong yang ringan tulang dan menyiwai perjuangan parti.

12. Sesungguhnya tidak akan ramai wakil rakyat jika tidak ramai ahli dalam sesuatu kerusi. Justeru itu, kita hendaklah menambah keahlian. Parti yang tidak bertambah keahlian adalah parti yang menuju pengakhirannya. Janganlah kita berpeluk tubuh, sebaliknya marilah kita aktif agar massa terpikat dan rela memilih kita sebagai medium perjuangan mereka.

13. PBS masih diperingkat awal pengaktifannya. Usia pun baru sekitar lima bulan. Kita masih menebas, kita belum boleh menuai lagi. Memperjuangkan suara rakyat mestilah menuntut pengorbanan material dan masa, namun parti tidak akan berjaya jika kita mementingkan diri mengejar wang tanpa sepakat dan bekerjasama berrgerak ke hadapan mendukung parti.

YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

14. Musuh politik kita, pembangkang sangat buas berkeliling parti kita. PBS seumpama rumah yang melindungi ahlinya dan rakyat Sabah umumnya. Parti ini tidak berkompromi dengan anasir yang merugikan rakyat. 25 tahun PBS bergelumang dalam arus politik, kita tahu parti dan tokoh mana yang baik. Sebab itu kita menjarakkan diri dengan mereka, sebab mereka terbukti tidak sesuai kepada hasrat kita rakyat Sabah. Kita kekal dalam Barisan Nasional dan tidak memilih pembangkang kerana setakat ini kita dapati hanya BN pilihan yang sesuai.

15. Justeru itu, jauhilah ‘macai-macai’ parti lawan. Mereka ini ingin PBS jatuh. Perkara kecil mereka besarkan, yang kurus mereka bengkokkan dan yang putih mereka palit lumpur. Dalam memastikan PBS mantap, anasir subversif seperti pencerobohan ahli parti pembangkang ke dalam parti hendaklah ditentang habis-habisan.

16. Jika seseorang itu ada keahlian parti lain, baiklah dia mengistytiharan keluar parti lain dan masuk parti kita secara terbuka. Perbuatan ‘pasang dua bubu’ bukan sahaja tidak bermoral malah sebenarnya salah di sisi undang-undang.

MEMANTAPKAN KEPIMPINAN DAN MENGOPTIMUMKAN PENGURUSAN

YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan,

17. Politik di Malaysia adalah ‘leadership oriented’ yakni berasaskan ketokohan pemimpin. Justeru itu, para pemimpin dari peringkat cawangan hinggalah ke peringkat pusat hendaklah mendalami dan menjiwai kemahiran memimpin. Ini kerana kepimpinan yang baik dihargai seperti pantun:

Pulau pandan jauh ke tengah
Gunung daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

18. Pemimpin yang baik hendaklah mampu menggunakan semua sumber di bawah kawalannya berusaha mencapai matlamat organisasinya. Seseorang pemimpin itu tidak lengkap tanpa sokongan dan khidmat tenaga, kepakaran dan kesetiaan pengikutnya. Sebagai contoh, Perdana Menteri melantik seorang menteri atau penasihat atau pengarah sesuatu potfolio. Ini bertujuan untuk merealisasikan konsep ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

19. Justeru itu, PBS Kemabong mahu mereka yang berbakat dan ikhlas dalam perjuangan PBS tampil ke hadapan dan menjadi juara rakyat dan pengikut yang setia kepada pemimpin. Mereka boleh memegang jawatan ad-hoc atau lantikan malah dipercayakan mengemudi program, namun mereka mestilah diuji. Ini kerana kita takut ‘kepala agung’ dan ‘cakap tak serupa bikin’.

20. Lantaran itu kita akan selitkan program (kursus) mengasah kemahiran memimpin dan pengayaan kepimpinan. Kita ada pakar pengurusan di sini, kita juga mempunyai ramai mentor berkelayakan di luar sana, yang boleh diguna pakai dalam memperkasakan kepimpinan parti di peringkat cawangan hinggalah ke bahagian.

21. Sejarah telah membuktikan bahawa pemimpin yang tidak mampu menggunakan kepakaran dan khidmat terbaik ahlinya akan gagal. Bertitik tolak dari ini saya mengalakkan tuan-tuan dan puan-puan untuk berkerja secara kolektif dan kolaboratif yakni memakai kepakaran semua bawahan yang sesuai guna memantapkan keberkesanan pengurusan cawangan dan parti.

SALURAN SUARA RAKYAT

YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan

22. PBS sebagai sebuah parti berhasrat untuk menjadi lidah kepada suara rakyat. Ini menuntut PBS mempunyai ‘eagle eyes’ yakni mata terperinci melihat sendiri permasalahan rakyat. Justeru itu, para pemimpin parti hendaklah ‘flying over mountain and ocean’ dan ‘fast as thunder’ untuk meneliti dan menyampaikan permsalahan rakyat kepada pihak atasan.

23. PBS di bahagaian ini memang tidak mampu menyelesaikan semua masalah rakyat, apatah lagi dalam posisi kita sebagai ketua bahagian sahaja. Namun ini tidak menghalang kita untuk bersuara dan meminta khidmat daripada wakil rakyat. Biasalah dalam BN, dia tolong kita selesaikan masalah rakyat, kita tolong dia pula terutama dalam pilihanraya.

KOMITED KEPADA BARISAN NASIONAL

YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan

24. PBS sehingga kini merupakan parti komponen Barisan Nasional terbesar di Sabah selepas UMNO. Bertitik tolak dengan senario ini, PBS Kemabong komited dengan BN dan mendukung semangat BN.

25. BN adalah koleksi pelbagai parti yang bersekutu di atas ideologi yang konsisten, berbeza dengan pakatan rapuh Pakatan Rakyat. Justeru itu, PBS berharap ideologi dan semanggat BN ini dipegang dan dipraktikkan oleh semua parti komponen.

26. Kita sedar keluhan segelintir pihak bahawa wujud kepincangan dalam mekanisma dan semangat komponen oleh sesetengah pihak tertentu. PBS berharap agar keluhan ini tidak benar, namun siasatan hendaklah dibuat dan sikap transperan perlulah diadaptasi dalam Barisan Nasional.

27. Kita tidak mahu hanya kerana ‘nila setitik, rosak susu sebelangga’. Kita mahu BN menjadi ‘Juara Rakyat’. Maka kita amalkan sikap perpaduan dan kerjasama ini demi untuk perjuangan. Maka diharap parti lain juga seperti hasrat dan pendirian PBS Kemabong.

PEMBANGUNAN DIUTAMAKAN

YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan,

28. Seringkali ada pihak menganggap bahawa parti yang baik ialah parti yang kaya. Parti yang mampu menyumbatkan wang ke saku. Justeru itu tidak kisah siapa yang beri banyak wang di sana dia akan ikut. Ini sebenarnya tidak sihat dan tidak betul.

29. Menganggotai parti mestilah dilihat daripada hasil positifnya dari segi pembangunan sosio-ekonomi dan budaya serta intelektual masyarakat. Ini termasuklah pembangunan insfrastruktur.

30. Justeru itu, kita berhasrat untuk meningkatkan kepekaan serta penglibatan rakyat dalam mengenal dan merebut peluang yang ada di sekeliling guna memajukan diri.

31. Usaha PBS Kemabong menganjurkan program seminar potensi gaharu baru-baru ini adalah antara contoh yang diharap mampu membuka minda peserta berusaha menambah pendapatan. Bak kata orang Cina, kalau orang minta ikan, jangan beri ikan sebaliknya ajar dia pancing ikan.

YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan,

32. PBS Kemabong ingin meningkatkan kesedaran dan kemampuan pelajar dalam pendidikan. Usaha ini tidak boleh disandarkan kepada sekolah sebaliknya penglibatan pemimpin parti dan pemimpin masyarakat. Kita hendaklah turun padang.

33. Baru-baru ini kita agak kecewa apabila ada pihak menuduh PBS tidak memperjuangkan suku-kaum seperti Murut atau Lundayeh. Walaupun baru diaktifkan PBS telah mengadakan Pertandingan Memasak Masakan Tradisi Murut-Lundayeh. YB Datuk Herbert Timbun Lagadan menjadi perasmi kita mewakili YB Datuk Presiden. Kenapa pula sebulan kemudian, individu berkenaan menafikan peranan kita.

34. Ini tidak akan mematahkan semangat kita dalam membela budaya warisan khazanah negeri Sabah tercinta ini. Kita akan terus memainkan peranan dan membuktikan bahawa PBS adil dan saksama dalam menjaga kesinambungan perjuangan hak dan kepentingan `orang asal’ Sabah setakat yang dibenarkan oleh perlembagaan dan undang-undang.

PERLUKAN PERHATIAN PUSAT

YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan,

35. PBS Kemabong ingin menari dengan baik dan sempurna. Kita tidak mahu terlalu rancak cukuplah sekadar yang perlu. Justeru itu, PBS Kemabong ingin memastikan kita mempunyai kemampuan untuk melaksanakan sebarang program yang baik untuk rakyat dan parti.

36. Kita mohon PBS Pusat dapat memberikan bantuan kewangan dan khidmat sokongan. Kita mahu PBS Pusat tidak menganak-tirikan kita. Saya percaya di sini, N.36 Kemabong ini masih ramai yang sayangkan PBS.

37. Lantaran itu, kita juga berusaha membina jambatan kukuh dengan pemimpin komponen BN terutama YB Datuk wakil rakyat.

38. Memandangkan niat kita baik, diharap mereka akan memberikan kita perhatian berupa peruntukan untuk menjaga ahli. Saya yakin, ahli kita mampu membantu BN dalam pilihanraya.

PENUTUP

YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan,

39. Sesunguhnya perjuangan tentang rakyat sangat banyak untuk diutarakan namun kita mahu amalan ‚kurangkan bercakap, banyakkan bertindak’ sesuai untuk kita.

40. Berpolitik memang memerlukan kita bercakap, sebab politik itu berkaitan dengan `poll’ – undi, `talk’ – cakap, `thinking’ – berfikir. Jadi marilah kita bertindak sesuai tiga perkara ini dan jangan terlalu banyak bercakap yang seolah-olah berjanji.

41. Demikianlah tadi, diharap tuan-tuan dan puan-puan akan menghalusinya sebab idea tanpa dihalusi dan dicanai pada hakikatnya kasar dan kurang berharga.

YB Datuk, tuan-tuan dan puan-puan,

Sesunguhnya yang baik datangnya daripada Tuhan dan buruk datangnya dari kelemahan saya. Sekian dan selamat berkongres.

Berkhidmat untuk rakyat,

SABINI BINTI ANSUMOR
Ketua Bahagian PBS N.36 Kemabong
Exco Pergerakan Wanita Sabah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: