TEMU-RAMAH EKSLUSIF KETUA BAHAGIAN N.36 KEMABONG

September, 2009: Kemabong. Satu sesi temu-ramah telah diadakan diantara Ketua Bahagian Kemabong, Pn. Sabini Ansumor dengan Editor Web Sites, PBS Kemabong. Temu-ramah ini adalah sebagai susulan kepada kemenangan besar Ketua Bahagian ini dalam pemilihan Bahagian N.36 Kemabong yang dilaksanakan di Dewan Mini Kuala Tomani yang dipengerusikan oleh YB. Datuk Raden Malleh dan YB Johnny Masitun dan dirasmikan oleh YB Datuk Panglima Michael Asang, Naib Presiden PBS.

Editor: Selamat pagi dan selamat sejahtera. Tahniah di atas kejayaan puan memenangi jawatan Ketua Bahagian (KB) bagi sesi 2009-2012.

Ketua Bahagian: Terima Kasih.

Editor: Apakah perasaan puan selepas diumumkan sebagai KB yang baru?

Ketua Bahagian: Pada dasarnya saya merasa lega. Saya melihat kemenangan ini menunjukkan bahawa PBS di bahagian ini amat memerlukan kepimpinan yang baru. Mereka meletakkan kepercayaan kepada saya dan Barisan Pembaharuan dengan majoriti yang besar. Saya sangat terharu dan merakamkan ucapan berbanyak terima kasih.

Editor: Boleh puan kongsikan latar belakang peribadi dan akademik puan?

Ketua Bahagian: Saya adalah berasal dari suku kaum Murut. Ibubapa saya berasal dari mukim Bakuku tetapi saya kini menetap di Kampung Kalamatoi. Semasa di peringkat IPT dahulu saya terlibat secara aktif dengan sukan hoki dan pernah memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Pandu Puteri Daerah Tenom dari Tahun 1998 hingga 2008. Sebelum ini aktif dalam pelayanan gereja dan kini, saya sedang menunggu pengijazahan sarjana muda TESL dari UMS.

Editor: Dalam pertandingan yang lepas, puan ditentang dengan hebat oleh mantan KB dan barisannya. Bagai manakah pandangan puan berkaitan hal ini?

Ketua Bahagian: Pertandingan adalah lumrah alam. Dalam pertandingan tentu sekali ada pihak yang kalah dan ada pihak yang menang. Mantan telah memberikan persaingan yang sengit begitu juga dengan barisan yang diterajuinya. Walau bagaimanapun saya menganggap pertandingan ini sebagai satu pertandingan dalam keluarga. Maknanya, kita bertanding dengan semanggat setiakawan dan keyakinan bahawa pertandingan ini adalah baik untuk politik dan ianya wajar bagi PBS yang bersikap demokratik.

Editor: Adakah ini bermakna kepimpinan puan tidak akan mengambil tindakan kepada mereka?

Ketua Bahagian: Tidak. Perwakilan telah menentukan siapa yang mereka percayakan. Kita tidak perlu menghukum pihak yang kalah. Kita sebagai satu keluarga sebaliknya menyeru semua yang terlibat agar berbaik dan menumpukan perhatian kepada perjuangan parti.

Editor: Bagaimana dengan nasib mantan, adakah puan akan menyerapnya dalam barisan kepimpinan yang baru?

Ketua Bahagian: Ini perlu kita kaji dan putuskan secara kes by kes. Kita ada barisan yang bertanding bersama kita. Terpulanglah kepada penyokong dan ahli yang menang untuk membuat keputusan. Tentunya kita akan bermesyuarat dalam masa terdekat dan mengetengahkan barisan yang difikirkan sesuai. Jika ada keperluan untuk mantan berada dalam barisan berkenaan maka kita akan beri dia peluang.

Editor: Benarkah semasa pertandingan berkenaan wujud campur tangan daripada pihak luar?

Ketua Bahagian: Tentu ada campur tangan daripada luar. PBS N.35 Melalap terlibat secara langsung sebagai Urusetia Pemilihan. Sebagai bahagian yang mengalami pengantungan, tentu sekali PBS Kemabong belum boleh mengadakan pemillihan sendiri. PBS Pusat yang diketuai oleh YAB Datu Seri Panglima Pairin Kitingan telah mengarahkan YB Datuk Radin Malleh dan YB Johnny Masitun menyelaras pemilihan ini. Mereka bertindak sebagai pihak berkecuali.

Editor: Maaf, yang saya maksudkan ialah parti komponen yang lain.

Ketua Bahagian: Saya tidak pasti dengan perkara ini. Setahu saya PBS ialah ahli komponen Barisan Nasional. Setahu saya BN mengamalkan semanggat setiakawan dan tidak membenarkan mana-mana komponen mencampuri urusan dalaman parti lain dalam komponen. Mungkin para perwakilan lebih arif namun setakat pengetahuan saya, senario seumpama itu mungkin tidak berlaku.

Editor: Bagaimana jika ada, apakah tindakan puan?

Ketua Bahagian: Sebaiknya kita tidak mahu menghebohkan perkara ini. Ini tidak baik untuk pengetahuan umum dan mungkin menjadi bahan kempen parti pembangkang. Walau bagaimanapun jika perlu kita akan membuat aduan rasmi kepada pihak berkaitan.

Editor: Apakah bentuk barisan jawatankuasa yang puan bakal ketengahkan?

Ketua Bahagian: Setiap individu yang dipilih oleh perwakilan akan dimasukkan dalam barisan jawatakuasa ini. Ini termasuklah ahli bukan dari barisan pembaharuan. Kita akan masukkan mereka dengan harapan kita akan mengetepikan perbezaan pendapat semasa kempen sebaliknya mengutamakan perjuangan untuk parti.

Editor: Bagaimana dengan jawatankuasa lantikan?

Ketua Bahagian: Kita akan mendapatkan individu yang kita yakin boleh menyumbang kepada kekuatan dan kemajuan parti. Memang telah ada individu yang telah disenarai pendekkan dalam barisan kepimpinan yang baru kelak.

Editor: Benarkah ada individu yang ingin masuk dalam barisan kepimpinan yang baru?

Ketua Bahagian: Memang ada. Ramai. Mereka mendatangi saya atau melalui orang kepercayaan memohon dilantik. Ada juga daripada pihak yang pernah mengecam kita secara tidak beretika namun seperti biasa kita akan kaji secara kes by kes. Seperti yang ditegaskan sebelum ini, kita akan terima seseorang itu berdasarkan keperluan dan kepentingan parti. Saya percaya individu yang sayangkan parti tidak mementingkan jawatan tetapi melihat ini sebagai nasib belum menyebelahinya. Apatah lagi kita mempunyai bilangan kekosongan yang terhad. Tidak semua akan diterima. Jika ada yang ditolak, bukan saya yang menolak tetapi keperluan belum memihak kepada mereka. Saya syorkan mereka menanti masa yang sesuai manalah tahu akan diserak kelak. Yang penting ialah keutuhan parti.

Editor: Apakah yang akan puan lakukan selepas ini untuk parti?

Ketua Bahagaian: Kita akan mengutamakan pencapaian manifesto. Ada sembilan matlamat yang kita utarakan dalam kempen kita. Kita akan cuba capai matlamat itu. Mungkin ada ahli atau pemerhati yang meletakkan harapan terlalu tinggi, kami juga sedemikian namun kita jangan terlalu terikat dengan harapan tinggi. Cukuplah jika kita ada menunjukkan pencapaian. Sedikit sudah cukup tetapi jika banyak lagi bersyukur. Sememangnya kita hanya merancang tetapi Tuhan yang menentukan. Apapun, usaha mesti dibuat agar kita tidak terikat dengan kegagalan dan eloklah kita membuktikan bahawa PBS bahagian ini boleh. Ada matlamat yang mengambil masa untuk dicapai sehingga mengambil masa yang panjang sehingga ke penggal seterusnya namun saya percaya dengan kerjasama dan toleransi ahli, PBS bahagian ini dapat berganjak sedikit demi sedikit sehingga berjaya.

Editor: Bolehkah puan memberikan sedikit sebanyak maklumat berkaitan manifesto berkenaan?

Ketua Bahagian: Pada dasarnya manifesto ini tidak banyak beza dengan tujuan dan objektif parti. Meskipun begitu, kita memfokuskan manifesto kepada visi kita untuk menjadikan PBS bahagian ini aktif dan menjadi platform bagi keperluan rakyat Kemabong. Sembilan teras berkenaan adalah berdasarkan visi berkenaan. Anda boleh merujuk kepada manifesto berkenaan di laman web atau di dalam edaran yang telah diberikan.

Editor: Saya difahamkan pihak puan terlibat secara langsung dalam penyusunan PBS bahagian ini. Apa komen puan?

Ketua Bahagian: Sebenarnya kami di Cawangan Kalamatoi dimaklumkan bahawa PBS bahagian akan disusun. Kami telah mengadakan mesyuarat di cawaangan kami dan berjaya sehingga ke peringkat perasmian cawangan yang dibuat oleh Encik Simon Mamat. Kemudian kami dimaklumkan bahawa ada mesyuarat penyusunan yang dipengerusikan oleh YB Datuk Radin Malleh di Pejabat Daerah Kecil Kemabong pada 18 Jun 2009. Kami pun menghadirkan diri, dari sana kami dapati pengaktifan cawangan sangat lembab. Pelbagai masalah diketengahkan maka pihak Urusetia yang dipimpin oleh YB Datuk melalui En. Simon Mamat meminta jasa baik kami menyusul cawangan-cawangan berkenaan. Apabila kami menyusul cawangan-cawangan berkenaan didapati cawangan berkenaan ada yang belum tahu atau dipinggirkan. Mahu tidak mahu kami diminta campurtangan dan terlibat secara aktif.

Editor: Benarkah puan turut mengunjungi kampung-kampung yang terletak jauh di pedalaman?

Ketua Bahagian: Ya. Sebagai contohnya saya telah sampai ke Kapulu di Mukim Rundum, Kampung Tinura dan Mahunsop serta Alutok di Mukim Bakuku. Kadangkala hampir setiap minggu kami datang berkunjung. Macam-macam perkara yang diurus seperti perasmian, menerimaan borang keahlian, pencalonan dan urusan kempen. Penat juga melalui jalan yang tidak baik namun gembira berjumpa penduduk yang masih sayang akan PBS.

Editor: Benarkah puan sekarang ini mengandung? Berapa bulan?

Ketua Bahagian: Ya, saya mengandung tujuh bulan.

Editor: Usia kandungan dan jalan sedemikian sangat merbahaya, tidakkah puan takut?

Ketua Bahagian: Memang takut. Walau bagaimanapun saya tidak boleh berdiam diri. Saya lihat inilah kesempatan baik untuk mengaktifkan PBS. Lagi pula jika peluang ini tidak diambil, tentu PBS akan berkubur. Selain itu, jika PBS bahagian jatuh ke tangan pihak yang kurang mantap, tentu sekali PBS akan melalui zaman malap sekali lagi. Akhirnya kami sekeluarga menyerahkan kepada Tuhan dan memohon campur tanganNya. Syukurlah saya selamat.

Editor: Puan adalah pemimpin pertama wanita di bahagian ini. Adakah puan menghadapi masalah dalam politik setakat ini berkaitan gander?

Ketua Bahagaian: Diskriminasi gander, maksud saya diskriminasi berasaskan jantina merupakan isu yang terpaksa saya hadapi. Memang ada individu yang meragui keupayaan kami kaum wanita. Meskipun begitu, saya percaya anggapan berkenaan perlu dipertimbangkan semula. Syukur saya mendapat sokongan yang padu daripada suami saya. Dia banyak membantu dan sering menjadi tempat untuk saya mengadu. Kepada para wanita, janganlah terlalu merendahkan keupayaan kamu, kita sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri. Kita ada kalanya boleh melengkapi kaum lelaki.

Editor: Bolehkah puan nyatakan, apakah halangan-halangan yang besar selama puan melibatkan diri dalam politik ini?

Ketua Bahagian: Saya terlibat dalam politik secara aktif lebih kurang satu setengah bulan. Namun pelbagai halangan yang saya terpaksa tempuh. Antara halangan berkenaan ialah masalah kewangan, masalah propaganda dan tomahan pihak tertentu dan masalah kesihatan. Saya juga banyak melihat pelbagai karenah individu tertentu. Namun mungkin inilah asam garam berpolitik.

Editor: Kenapa puan melibatkan diri dalam politik?

Ketua Bahagian: Saya melibatkan diri dalam politik secara tidak dirancang. Saya minat dengan PBS dan memang mempunyai ahli keluarga yang giat berpolitik seperti Almarhum Datuk Tingkalor, YB Esar, Datuk Rubin dan Mantan PKR Lisa Datuk Tingkalor. Minat terhadap politik juga mungkin tebal kerana saya mempunyai keturunan kepimpinan Aki Arus. Walau apapun, saya melihat rakyat khususnya peminat PBS memerlukan seorang pemimpin untuk memimpin mereka mengaktifkan PBS. Mereka mengetengahkan saya untuk bertanding, maka saya melihat ini sebagai satu sumbangan yang murni yang perlu saya berikan.

Editor: Benarkah puan ada bertemu dengan YB Datuk?

Ketua Bahagian: Dalam berpolitik, memang kita bertemu dengan datuk-datuk. Datuk Radin sering hadir ke Perasmian Cawangan tajaan kami seperti di Mukim Kuala Tomani yakni gabungan 9 cawangan; Perasmian 8 cawangan di Mukim Bakuku; dan perasmian 4 cawangan di Mukim Kemabong. Kami juga ada bertemu dengan Datuk Radin dan YB Johnny Masitun di Pejabat Kecil Daerah Kemabong.

Editor: Maksud saya dengan YB Datuk Rubin.

Ketua Bahagian: Benar saya dan rombongan ada dipanggil berjumpa dengan Datuk Rubin semasa Perhimpunan Puteri UMNO di Hotel Perkasa.

Editor: Kenapa YB Datuk ingin bertemu dengan puan?

Ketua Bahagian: YB Datuk ingin mendengar sendiri cerita penyusunan bahagian PBS ini. Memandangkan beliau adalah wakil rakyat Kemabong, kami mengambil keputusan untuk menemuinya. Memang beliau prihatin dengan parti PBS dan banyak berkongsi maklumat berkaitan pengalaman beliau dalam memimpin bahagian PBS dan UMNO. Banyak pengalaman dan nasihat itu sesuai untuk kami jadikan rujukan. Terima kasihlah kepada Datuk Rubin.

Editor: Benarkah puan akan bertanding dalam pilihanraya akan datang?

Ketua Bahagian: Soalan ini agak mengejutkan saya. Walau bagaimanapun kita tahu had dan keupayaan kita. Jesteru itu, kita tidak akan memikirkan secara mendalam hal ini. PBS bahagian ini baru sahaja aktif, ada baiknya saya tumpukan perhatian kepada pengurusan parti di bahagian ini. Biarkan pihak pimpinan PBS Pusat dan BN Negeri serta Pusat yang membuat penilaian terhadap siapa calon. YB Datuk Rubin dan YB Raime Unggi setakat ini adalah individu yang berpengalaman sebagai wakil rakyat. Berilah mereka peluang. Jika ada permintaan untuk kita meletakkan calon dari PBS, itu biarlah pihak pentadbir putuskan dan kita akan akur dengan kehendak pemimpin pusat.

Editor: Bagaimana dengan masalah politik wang dalam parti? Adakah PBS juga menghadapi masalah yang sama?

Ketua Bahagian: Politik wang adalah masalah nasional. Terus terang ini masalah yang boleh menyebabkan malapetaka besar dalam politik jika dibiarkan berleluasa. Di dalam PBS bahagian setakat ini, politik wang masih lagi dianggap sebagai kes terpencil. Maknanya PBS bahagian ini belum bergelumang dengan masalah berkenaan. Jesteru itu, dalam kepimpinan kali ini kita akan cuba untuk memberikan kesedaran kepada rakyat agar menolak politik wang dan mengutamakan kesejahteraan parti.

Editor: Benarkah akan wujud persempadanan baru pilihanraya?

Ketua Bahagian: Itu kita tidak pasti. Memang ada individu memperkatakan perkara ini. Mungkin beliau lebih arif. Jika benar, kita kena kenalpasti setakat mana sempadannya dan sejauh mana ianya memberi impak kepada kita.

Editor: Adakah PBS masih releven di Sabah?

Ketua Bahagian: Ya. PBS masih releven. PBS merupakan parti tempatan yang kerap mengetengahkan pelbagai isu yang melibatkan rakyat. Perjuangan ini merupakan perjuangan yang konsisten dan penting demi untuk rakyat. Perjuangan seperti masalah PTI, isu Kad Pengenalan Palsu, Hak Tanah dan sebagainya merupakan isu yang sering diketengahkan oleh parti ini. Memang wujud sesetengah komen pihak tertentu di mana PBS tidak selantang dahulu. Namun kita melihat ini sebagai andaian semata-mata. PBS sebenarnya sebagai rakan komponen dan terlibat dalam pemerintahan bekerja secara berpasukan mencari jalan dan bersama-sama terlibat aktif berusaha meminumamkan isu berkenaan ke akar umbi.

Editor: Bukankah isu berkenaan boleh di atasi oleh kerajaan dengan tanpa kehadiran PBS?

Ketua Bahagian: Dalam sebuah keluarga, mesti ada pihak yang saling mengingatkan dan bantu membantu. Begitu juga dalam kerajaan perlu ada pihak yang sering mengingatkan dan menyumbang kepakaran maupun idea serta tenaga. Inilah yang kita panggil kolaboratif dan koperatif.

Editor: Adakah puan mempunyai pesanan kepada pada ahli PBS di Kemabong?

Ketua Bahagaian: Pertama-tama saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas mandat yang diberikan oleh ahli kepada para calon. Saya percaya ini bukan prestij sebaliknya amanat dan tanggungjawab yang berat dan perlu dilunaskan oleh kami. Demi untuk keperluan bersama, saya menyeru semua pihak agar bekerja secara berpasukan dan mengutamakan survival parti. Marilah kita mendukung perjuangan parti ini agar ianya boleh menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran Sabah. Ingatlah, kita masih lagi menebas, semoga hasilnya akan kita tuai dengan berlipat ganda terutamanya kepada anak cucu kita, jasa dan kebijaksanaan kita pada hari ini semoga dikenang dan disanjung dikemudian hari. Hidup PBS!

Editor: Demikianlah tadi temu-ramah yang melibatkan saya dengan Ketua Bahagian PBS yang baru, Puan Sabini Binti Ansumor. Secara fizikal kita melihat beliau sama seperti wanita lain yang lemah lembut namun, sejarah telah membuktikan bahawa dia baharu sahaja memegang teraju kepimpinan bahagian. Rupanya perjuangan dan pengorbanannya dalam pengaktifkan parti ini bukan boleh diperlekehkan. Adakah dia akan berjaya mengemudi bahagian ini, yang majoriti dikuasai oleh kaum lelaki dan mampukah dia menjadi favorite umum? Sama-samalah kita lihat dan tunggu. Apapun selamat berusaha dan selamat jumpa lagi. Terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: