Gelagat Politik

Menjelang pemilihan PBS Bahagian N.36 Kemabong, pelbagai gelagat perwakilan dan peminat politik dapat dilihat. Ada kalanya gelagat berkenaan melucukan dan tidak kurang pula yang menjengkelkan. Walau bagaimanapun mungkin itulah agaknya dikatakan asam garam dalam dunia politik. Apa pun yang pastinya ini menceriakan lagi pemilihan bahagian kali ini yang nampaknya dilaksanakan secara demokratik dan sistematik.

Seorang pemerhati politik mengatakan bahawa situasi seumpama ini sudah agak lama berkubur di bahagian berkenaan. Syukurlah menurut beliau, akhirnya PBS bahagian ini kembali ke landasan yang sebenar dan diharap kepimpinan yang terpilih mengamalkan kepimpinan demokratik. Beliau berharap pentadbir autokratik atau ‘One Man Show’ diketepikan.

Seorang pakcik tua pula mengemukakan satu kiasan: “Ansabab angas kukuo malawor makou? Sabab ulu natu akotoh ambolong. Asu po tinai natu, olong yak lapon. Hitu nga asanang ongoion nuulun” Ertinya: “Apa sebab ular sawah malas bergerak? Sebabnya kepalanya kuat tidur. Apabila perut kenyang, tidur sahajalah kerjanya. Itulah sebabnya orang senang pegang”

Terdengar pula seorang pakcik mengesyorkan, eloklah dipilih pemimpin yang veteren sebab banyak pengalaman. Pemimpin berkenaan tahu banyak ‘Sa’ahon’ (Tempat di mana banyak binatang datang) jadi senanglah untuk mendapat peruntukan. Namun rakan pakcik itu berbual pula kurang bersetuju. Alasannya ialah jika pemimpin itu tahu banyak ‘Sa’ahon’ kenapa tidak diberitahu pengikutnya selama ini supaya sama-sama dapat hasilnya.

Seorang mantan pentadbiran bahagian yang lama pula memberikan kiasan. Menurut beliau PBS Kemabong ini seperti sebuat rumah yang telah lama didirikan. Malangnya rumah ini terpaksa dirobohkan dan didirikan semula. Kalau atap yang bocor, tentu hanya atap yang diganti. Ini tidak dimana sebuah rumah itu sendiri yang dirobohkan. Ini bukan masalah kecil. Ini masalah besar. Sebuah rumah yang dibangun namun kini terpaksa diroboh dan dibangunkan kembali selepas kerosakan diganti adalah satu contoh kegagalan penjaga sedia ada.

Kedengaran pula desas-desus seorang pakcik yang mengarahkan semua perwakilan mengekalkannya dalam pentadbiran bahagian. Menurut sumber yang boleh dipercayai, pakcik berkenaan memberikan dalil bahawa beliau mahu kekal sebab telah banyak membuang wang semasa pemilihan yang lalu. Lagipula menurutnya dia penyokong setia sebab tidak pernah berpindah parti. Walau bagaimanapun yang menjadi persoalan ialah, bukankah wang ditabur itu untuk membolehkan beliau mendapat jawatan? Kalau sudah dapat jawatan sebelum ini, kenapa nak ‘claim’ lagi? Bukankah dah diberi peluang memegang jawatan selama beberapa penggal (termasuk semasa bahagian tergantung)? Orang bertanya, mana janji mu? Lagi pula jika benar setia, kenapa yuran keahlian pun tidak dibayar? Dalam kesibukan penjawat yang lain berhubung mesra dan berinteraksi kepada Presiden parti, pakcik ini pula syok sendiri.

Ada pula kisah melucukan. Ada penduduk kampung takut muncul di perasmian mesyuarat agung! Menurut mereka, mereka sayang PBS tetapi takut dilihat secara terang-terangan sebab takut ditarik bantuan PPRT dan Wang Bantuan Orang Tua. Ini kerana PBS ini kononnya pembangkang, bukan Barisan. Lebih teruk lagi seorang Ketua Kampung memberikan komen bahawa PBS ini bukan pemerintah.

Alamak macam mana ini? Sudah 10 tahun PBS masuk Barisan. Dalam Kabinet Sabah, YB Datuk Panglima Joseph Pairin Kitingan sebagai Timbalan Ketua Menteri. Kira orang nombor 2 dalam kerajaan Sabah lah itu. Jika ada dalam Kabinet bermakna bukan pembangkang. Kenapa takut tidak diberikan PPRT? Bukankah YB Edward Yong Oui Fah ialah Pembantu Menteri Kepada Kerajaan Tempatan dan Perumahan. Kenapa takut hilang wang bantuan orang tua? Bukankah YB Herbert Timbun Langadan ialah Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna. Ini bermakna pihak sebelumnya gagal memberikan penerangan. Agaknya kalau itu juga, berterusanlah agaknya PBS ini dianggap pembangkang. Kasihan dilo.

Seorang peminat politik pula mengutarakan kehairanannya. Menurut beliau, kenapa keahlian PBS perlu dihadkan kepada kelompok tertentu sahaja. Kenapa bekas pembangkang tidak dibenarkan turut serta masuk PBS? Beliau berpendapat adalah wajar bagi PBS menerima kemasukan individu berkenaan. Ini kerana PBS adalah parti terbuka kepada semua orang. PBS ini boleh berperanan menjinakkan para pembangkang ini. Ini kerana PBS mampu memulihkan fahaman mereka jika diberikan peluang untuk berbuat demikian. Beliau mengakhiri hujahnya dengan mengatakan, “Jika duduk berkampung ramai-ramai, bolehlah belajar hidup sekampung. Maka yang ringan sama dijinjing dan berat sama dipikul” Masuk akal juga.

Di sebuah kampung pula, seorang penduduk terkejut mendapati PBS sedang dalam penyusunan. Menurut beliau, kampungnya belum mendengar berita berkenaan dan mempersoalkan kenapa petugas berkenaan tidak menyampaikan khabar berkenaan. Kemudian kedengaranlah desas-desus ada pihak tidak mahu cawangan yang pernah menentang pemilihannya dihidupkan semula. Entah betul atau tidak kononnya petugas berkenaan tidak mahu banyak cawangan hidup. Cukuplah layak sekitar 500 keahlian sahaja kalau tidakpun sekitar 25 cawangan sahaja. Jimat duit pengurusan dan kurang pembangkang katanya. Alamak kalau main had-had dan main blacklist bila parti mahu maju?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: